SEBANYAK 3,524 pelarian Myanmar yang berada di Malaysia dipersetujui untuk mengikuti proses penghantaran pulang secara sukarela bagi fasa kedua program berkenaan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pelaksanaan fasa seterusnya akan dimuktamadkan selepas kerajaan menerima tarikh daripada pihak Myanmar.

Menurut beliau, urusan penghantaran pulang itu akan diselaraskan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN), khususnya berkaitan pengurusan depot yang menempatkan pelarian berkenaan.
“Seramai 3,524 orang telah dipersetujui bersama pihak Myanmar untuk dihantar pulang dalam fasa kedua.
“Kita kini menunggu makluman mengenai tarikh pelaksanaan daripada pihak Myanmar sebelum penyelarasan lanjut dibuat,” katanya dalam sidang media mingguan selepas mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya, hari ini, lapor Buletin TV3.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Kementerian Luar atau Wisma Putra akan mengendalikan urusan nota diplomatik yang diterima daripada kerajaan Myanmar berkaitan proses penghantaran tersebut.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membincangkan isu berkenaan dalam pertemuan dengan pemimpin Myanmar dalam masa terdekat.
Fahmi berkata, perbincangan itu antara lain bertujuan mendapatkan persetujuan supaya lebih ramai pelarian Myanmar yang berada di Malaysia dapat diterima pulang ke negara asal.
Beliau berkata, Anwar dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing, minggu depan.
Sebelum ini, fasa pertama program penghantaran pulang secara sukarela membabitkan 1,476 warga Myanmar dan proses berkenaan selesai dilaksanakan semalam.





