EMPAT pekebun durian dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini, atas pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM559,329.50 antara Julai 2024 hingga Oktober tahun ini.
Kesemua tertuduh dikenali sebagai Chin Swee Heung, 53; Lai Seng Wah, 44; Tong Thin Fook, 60; dan Chua Seng Wen, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah serta memohon dibicarakan sebaik saja pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Sazlina Safie.
Mengikut pertuduhan, Thin Fook didakwa atas dua pertuduhan memperoleh hasil daripada aktiviti haram yang keseluruhannya berjumlah RM454,365.50.
Ia didakwa adalah hasil penjualan durian dari tanah hutan simpan yang diberikan Permit Penggunaan kepada Perbadanan Kerajaan Pahang dan tanah milik Kerajaan Pahang yang diusahakan tanpa kebenaran yang sah daripada pihak berkuasa negeri, lapor Berita Harian
Swee Heung pula didakwa atas lima pertuduhan memperoleh hasil daripada aktiviti haram sama berjumlah RM48,774.
Seterusnya, Seng Wah menghadapi dua pertuduhan sama berjumlah RM40,245, manakala Seng Wen pula satu pertuduhan sebanyak RM15,945.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi di Kampung Sungai Klau, Sungai Klau serta Sungai Ruan di Raub antara 4 Julai 2024 hingga 7 Oktober lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta mengikut yang mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ezuain Farhana Ahmad, mencadangkan ikat jamin antara RM20,000 hingga RM50,000 terhadap empat tertuduh itu dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Hakim kemudian menetapkan ikat jamin RM20,000 dengan syarat tambahan dicadangkan pendakwaan bagi setiap tertuduh berkenaan yang diwakili oleh peguam, Muhammad Amirul Afiqq Mohamad Lokman.
Mahkamah juga menetapkan 9 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


