Stor arak haram RM556,000 dirampas, dua lelaki warga India dicekup

TAKTIK menyimpan ribuan liter minuman keras tidak bercukai di sebuah premis perindustrian terbongkar apabila dua lelaki warga India diberkas dalam serbuan Op Taring Alpha 2 di Taman Perindustrian Pandamaran, Pelabuhan Klang, malam tadi.

Dalam operasi kira-kira jam 9.35 malam itu, polis merampas pelbagai jenis minuman keras dipercayai untuk pasaran tempatan dengan nilai keseluruhan sitaan dan rampasan termasuk kompaun dianggarkan lebih RM556,000.

Komander Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, serbuan dilakukan hasil risikan berkaitan kegiatan penyimpanan dan pengedaran arak tidak bercukai di sekitar Klang.

“Hasil pemeriksaan menemui 354 peti dan 142 kotak minuman keras jenis bir pelbagai jenama membabitkan 4,893 liter selain 25 kotak minuman keras jenis liquor berjumlah 238.55 liter.

“Dua lelaki warga India dipercayai penjaga dan pekerja premis turut ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi itu dijalankan WCB/PSK Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan serta Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

Menurut Mohd Zaki, pihaknya turut merampas sebuah lori dan wang tunai RM3,011 dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan.

“Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri serta dokumen penjualan minuman keras tidak bercukai,” katanya.

Beliau berkata, semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada IPD Klang Selatan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1957 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“MBDK turut mengeluarkan dua notis kompaun berjumlah RM2,000 atas kesalahan pelesenan dan iklan mengikut Undang-Undang Kecil MBDK 2007,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img