DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus mempergiat penguatkuasaan terhadap aktiviti jurufoto tanpa kebenaran apabila menyita empat peralatan serta mengeluarkan empat kompaun dalam Op Lens Siri 4/2026 di sekitar Pintasan Saloma dan KLCC, kelmarin.
Operasi bersepadu itu dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (JPN) bagi membanteras kegiatan ‘ulat foto’ yang menjalankan perkhidmatan fotografi tanpa kebenaran di kawasan awam.
Dalam operasi tersebut, DBKL turut mengeluarkan dua notis mahkamah terhadap individu terlibat untuk tindakan lanjut.
Menurut DBKL, tindakan penguatkuasaan diambil di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 terhadap individu yang didapati menjalankan perkhidmatan tanpa lesen sah.
“Operasi ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan bagi memastikan kawasan tumpuan awam kekal selamat serta bebas daripada aktiviti tidak berlesen yang boleh menimbulkan gangguan kepada pengunjung dan menjejaskan kelancaran lalu lintas,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyatan itu, semua peralatan yang disita telah dipindahkan ke stor sitaan DBKL untuk tujuan rekod dan dokumentasi lanjut.
DBKL menegaskan pihaknya akan terus menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa, selain menggesa orang ramai menyalurkan sebarang aduan berkaitan melalui saluran rasmi yang disediakan.


