SEORANG pegawai bank wanita kerugian RM87,650 selepas menjadi mangsa sindiket ‘love scam’ yang didalangi seorang lelaki menyamar sebagai kontraktor dari Australia.
Mangsa, wanita tempatan berusia 39 tahun itu dipercayai berkenalan dengan suspek yang menggunakan nama ‘David Cheng Lee’ menerusi aplikasi janji temu pada 19 Mac lalu.
Suspek yang mendakwa dirinya warganegara Australia berbangsa Cina kemudian memperdaya mangsa dengan mendakwa sedang menguruskan projek loji pembetungan di Kota Bharu, Kelantan sebagai kontraktor persendirian.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, selepas berjaya meraih kepercayaan mangsa, suspek mula menggunakan taktik menagih simpati dengan pelbagai alasan berkaitan masalah projek.
“Antaranya termasuk kerosakan traktor, kekurangan dana untuk pembelian diesel, kos makanan pekerja dan pembelian bahan kimia projek.
“Terpedaya dengan helah itu, mangsa melakukan 16 transaksi kewangan menggunakan akaun Maybank miliknya, iaitu 15 pindahan wang secara dalam talian dan satu deposit tunai,” katanya.
Menurutnya, pemindahan wang dibuat secara berperingkat dari 1 hingga 27 April lalu ke lima akaun bank berbeza yang dipercayai akaun keldai milik individu warga asing.
Katanya, mangsa yang menyedari ditipu kemudian tampil membuat laporan polis.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, manakala siasatan kini tertumpu kepada pengesanan suspek yang menggunakan dua nombor telefon tempatan serta mengenal pasti pemilik lima akaun bank berkenaan,” katanya.


