SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman lima individu terdiri daripada seorang Pengerusi, dua pengarah syarikat, seorang pengurus teknikal serta seorang kerani bagi membantu siasatan kes penyalahgunaan kuasa dalam urusan pelupusan tanah milik agensi kerajaan di bawah sebuah kementerian di Pulau Pinang.
Perintah reman selama empat hari sehingga 24 Ogos depan dikenakan terhadap kesemua suspek, dikeluarkan Majistret Noor Idayu Salim selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Georgetown pagi ini.

Menurut sumber, empat suspek lelaki dan seorang suspek wanita berusia lingkungan 40 dan 50-an telah ditahan antara jam 11 pagi dan 12 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang.
“Suspek pertama seorang pengerusi sebuah agensi kerajaan dipercayai bersubahat bersama empat lagi suspek menyalahgunakan kedudukannya ketika itu sebagai Timbalan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah untuk meluluskan penjualan lapan lot tanah di Seberang Prai Selatan pada 2015 kepada sebuah syarikat yang disyaki milik sekutunya.
“Suspek terbabit juga dipercayai menggunakan kedudukannya meluluskan penjualan tanah tersebut pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran membabitkan nilai kerugian kira-kira RM1.96 juta,” katanya.
Media semalam melaporkan, SPRM menahan lima individu yang terdiri daripada seorang Pengerusi, dua pengarah syarikat, pengurus teknikal dan seorang kerani wanita kerana dipercayai terlibat dengan penyalahgunaan kuasa dalam urusan pelupusan tanah milik agensi kerajaan di bawah sebuah kementerian di Pulau Pinang.
Suspek pertama seorang Pengerusi agensi kerajaan bergelar Datuk berusia lingkungan 50-an ditahan kerana dipercayai menyalahgunakan kedudukannya ketika itu sebagai Timbalan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah untuk meluluskan penjualan lapan lot tanah di Seberang Prai Selatan pada 2015 kepada sebuah syarikat yang disyaki milik sekutunya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.





