MAHKAMAH Majistret Johor Bahru hari ini menjatuhkan hukuman penjara 14 hari dan denda RM7,000 ke atas seorang pengawal keselamatan warga Singapura selepas dia mengaku bersalah menghina agama Islam dalam sebuah kenderaan e-hailing, bulan lalu.
Majistret A Shaarmini memerintahkan Mohamed Anim Atam, 56, menjalani hukuman penjara berkenaan daripada tarikh ditahan pada Selasa lalu.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut, lapor BH.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja berniat hendak melukakan perasaan agama mana-mana orang menyebut perkataan berunsur penghinaan terhadap agama Islam yang didengari oleh seorang lelaki.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dari Jalan Tun Razak hingga Jalan Meldrum di Johor Bahru kira-kira jam 5 petang pada 30 Julai lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa menyebut kata-kata iaitu “kalau betul al-Quran itu, kalau kau belajar, its very dangerous book of killing, kerja dia asyik membunuh, membunuh, membunuh, tak ada kasih sayang, ini semua bohong punya, aku tak percaya.”
Pengadu yang mendengar kata-kata tertuduh kemudian memuat naik video rakaman itu ke beberapa akaun media sosial miliknya sebelum membuat laporan polis pada 31 Julai lalu.
Timbalan Pendakwa Raya Eizlan Azhar memohon hukuman setimpal dikenakan memandangkan kes itu tular dalam media sosial dan membabitkan isu 3R.
Bagaimanapun dalam rayuannya, lelaki itu yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan memandangkan menghidap penyakit darah tinggi selain dalam proses perceraian yang memerlukannya hadir di Mahkamah Syariah di negaranya.
Baru-baru ini, sebuah video membabitkan warga republik itu yang menghina agama Islam ketika menaiki sebuah kereta e-hailing di sekitar bandar raya ini tular dalam laman sosial.
Susulan itu, suspek ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dengan bantuan Polis Singapura.
Turut dirampas daripada suspek adalah sebuah telefon bimbit bagi membantu siasatan.





