SEBANYAK 6.4 tan minyak masak yang disyaki diseleweng, termasuk minyak masak peket bersubsidi, dirampas dalam serbuan di sebuah stor tidak bernombor di Kampung Sanglang, Nibong Tebal, semalam.
Rampasan bernilai RM20,166 itu dibuat menerusi operasi bersepadu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Utara.
Pengarah KPDN Pulau Pinang, S Jegan berkata, tiga lelaki ditahan bagi membantu siasatan, masing-masing seorang warga tempatan dan dua warga asing.
Menurutnya, operasi kira-kira jam 3 petang itu dijalankan selepas pihaknya menerima serahan kes tangkapan berkaitan minyak masak daripada Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Pulau Pinang.
“Hasil pemeriksaan di lokasi, pihak penguat kuasa menyita kira-kira 900 kilogram minyak masak peket bersaiz satu kilogram serta 4,000 unit plastik minyak masak peket yang sudah dipotong.
“Turut dirampas minyak masak yang dipercayai disimpan dalam enam tangki Intermediate Bulk Container (IBC), dengan anggaran kuantiti 5,500 kilogram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pihak berkuasa turut menyita beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu, termasuk motor pam, hos paip dan tangki simpanan aluminium.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Jegan berkata, pihaknya turut mengambil tindakan susulan terhadap kes penyelewengan minyak masak di sebuah premis di Penaga pada 12 Oktober lalu, yang membawa kepada sitaan barangan bernilai RM65,450.
Bagaimanapun, katanya, sebarang kaitan antara kes di Nibong Tebal dan Penaga masih dalam siasatan.
Beliau menegaskan, KPDN akan terus mempergiat operasi bersama Polis Diraja Malaysia bagi membanteras penyelewengan barang kawalan yang boleh menjejaskan pelaksanaan subsidi kerajaan serta pengagihan minyak masak kepada golongan sasaran.





