SERAMAI 3,435 pegawai dan anggota polis dijangka ditugaskan bagi memastikan keselamatan serta kelancaran Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, termasuk 1,500 anggota bantuan dari luar kontinjen negeri itu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, penugasan berkenaan melibatkan anggota kontinjen negeri itu, termasuk petugas am dan pasukan khas, selain bantuan yang akan diselaraskan Bukit Aman.
“Kita juga meminta bantuan luar sekitar 1,500 anggota untuk membantu penugasan bagi pilihan raya ini,” katanya selepas taklimat sempena PRN Melaka Ke-16 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, hari ini, lapor Harian Metro.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Ahmad Jefferi Abdullah; Setiausaha Bahagian Pembangunan Operasi dan Pemantauan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Irwan Arma Idris; serta Pengarah Keselamatan Negeri Majlis Keselamatan Negara Melaka, Norazle Sulaiman.
Dzulkhairi berkata, polis turut menyediakan pasukan khas yang dilengkapi teknologi seperti dron dan kamera litar tertutup (CCTV) bagi memperkukuh kawalan keselamatan sepanjang proses pilihan raya.
Beliau berkata, seramai 2,764 pegawai dan anggota kontinjen negeri itu turut terbabit dalam pengurusan pengundian awal, termasuk pengundian secara pos.
SPR menetapkan 31 Oktober ini sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 10 November dan hari pengundian pada 14 November.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari.
Pada PRN lalu, Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, diikuti Pakatan Harapan (PH) dengan lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dengan dua kerusi.
Jumlah pemilih berdaftar di Melaka setakat 20 April lalu ialah 683,543 orang, meningkat sebanyak 188,348 berbanding 495,195 pemilih pada PRN 2021.





