Bekas CEO, CFO TH didakwa tipu pemberian hibah RM3.3 bilion

DUA bekas pegawai kanan Lembaga Tabung Haji (TH) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menipu ahli lembaga pengarah berkaitan pembayaran hibah berjumlah RM3.3 bilion bagi tahun kewangan 2017.

Mereka ialah bekas Ketua Pegawai Kewangan TH, Rozaida Omar, 63, dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Johan Abdullah, 70, yang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama memperdaya ahli lembaga pengarah TH dengan mendorong mereka meluluskan penilaian semula hartanah pelaburan milik organisasi itu pada nilai yang lebih tinggi.

Mereka didakwa menyediakan dan membentangkan kertas kerja mengandungi penilaian hartanah berkenaan dalam penyata kewangan belum dikonsolidasi bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, walaupun mengetahui hartanah itu sepatutnya dinilai pada harga pasaran yang lebih rendah.

Hartanah terbabit ialah Bangunan TH Platinum Park, Bangunan TH Perdana dan Bangunan TH Selborne, lapor FMT.

Mengikut pertuduhan, perbuatan itu dilakukan bagi membolehkan TH membayar hibah berjumlah RM3.3 bilion kepada pendeposit bagi tahun kewangan berkenaan.

Kesalahan itu didakwa berlaku antara jam 3 petang hingga 10.30 malam pada 9 Februari 2018 di Menara TH Tun Razak, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Disember ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nazran Mohd Sham, Rohaiza Abd Rahman dan Siti Aina Rodhiah Md Shikh.

Rozaida diwakili peguam Shamsul Sulaiman, manakala Johan diwakili Shukri Mohamed dan Malissa Shukri.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here