SEBANYAK 60 kenderaan dipandu warga asing disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka sepanjang Operasi Pemandu Warga Asing (Ops PeWA) yang dilaksanakan di seluruh negeri bermula 16 Jun lalu.
Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, sepanjang tempoh dua minggu operasi itu dijalankan, sebanyak 243 kenderaan diperiksa dengan 60 daripadanya disita atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut turut membawa kepada pengeluaran 196 notis terhadap pemandu warga asing yang melakukan pelanggaran undang-undang jalan raya.
“Daripada 60 kenderaan yang disita, 47 adalah motosikal, sembilan kereta, dua kenderaan perkhidmatan barangan dan dua lagi lain-lain kenderaan.
“Tiga kesalahan utama yang dikesan ialah memandu tanpa lesen memandu yang sah, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tidak memiliki perlindungan insurans,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kebanyakan motosikal yang disita dipercayai dibeli secara tidak mengikut prosedur undang-undang apabila urusan pertukaran hak milik tidak dilakukan.
Katanya, terdapat juga motosikal yang dipinjamkan majikan kepada pekerja warga asing dan masih berada dalam keadaan baik.
“Motosikal yang dibeli secara tunai ini kebanyakannya motosikal lama dengan harga sekitar RM800 hingga RM1,500,” katanya.
Siti Zarina berkata, tindakan penguatkuasaan membabitkan pemandu daripada pelbagai kewarganegaraan dengan warga Bangladesh merekodkan jumlah tertinggi iaitu 23 kes, diikuti Pakistan (12), Rohingya (11), Indonesia (lapan), Myanmar (empat) dan lain-lain negara (dua).
Beliau menegaskan operasi berkenaan bukan bertujuan menyasarkan mana-mana kumpulan tertentu, sebaliknya dilaksanakan bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi undang-undang tanpa mengira kewarganegaraan.
“Mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang akan dikenakan tindakan tegas tanpa sebarang kompromi.
“Pemilik kenderaan juga diingatkan supaya lebih bertanggungjawab kerana membenarkan individu yang tidak memiliki lesen memandu sah menggunakan kenderaan adalah satu kesalahan di bawah APJ 1987,” katanya.






