SEORANG siak di Masjid Nurul Iman, Kampung Titi Teras di Yan meninggal dunia ketika menunaikan solat Isyak di masjid itu malam tadi.
Allahyarham Md Zahir Hamid, 53, dilaporkan rebah pada rakaat ketiga semasa menunaikan solat Isyak sebelum disahkan meninggal dunia.
Seorang jemaah yang enggan dikenali berkata, menjadi rutin Allahyarham hadir berjemaah pada setiap kali solat fardu memandangkan tugasnya sebagai siak masjid.
Menurutnya, perwatakan dan keperibadian Allahyarham juga dikatakan disenangi ramai dan mempunyai sifat terpuji.
“Kematian yang dicemburui ramai.. .pemergiannya pada malam Jumaat, hari Asyura, bulan Muharram yang penuh keberkatan dan kemuliaan merupakan pengakhiran yang baik dalam hidupnya.
“Sememangnya beliau seorang yang baik semasa hayatnya,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Superintenden Mohamad Hamizi Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan sekitar jam 9.15 malam berhubung kejadian itu.
“Hasil soal siasat dengan waris memaklumkan si mati mempunyai rekod penyakit asma dan diabetes selain perlu mengikuti rawatan berkala di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar,” katanya.
Menurut Mohamad Hamizi, setakat ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.






