KIRA-kira 70 lot gerai kayu yang menjual pakaian terpakai atau ‘rombengan’ di Kampung Titingan, Tawau, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.44 pagi.
Menurutnya, seramai 16 anggota bersama empat jentera digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan sumber air daripada jentera bomba dan pili bomba selain kebakaran terkawal pada jam 5.23 pagi.
“Turut membantu operasi termasuk 10 anggota bomba komuniti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jemishin berkata, sebanyak 350 rumah dan lot gerai berjaya diselamatkan daripada turut terbakar.
Katanya, tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian berkenaan.
“Operasi ditamatkan pada jam 7.42 pagi,” katanya.
Beliau berkata, jumlah kerugian serta punca kebakaran masih dalam siasatan lanjut pihaknya.





