
KETIKA pelbagai pihak lebih memerhatikan apakah nasib Menteri Besar Perlis Shukri Ramli yang dikatakan berhadapan ‘ancaman’ penarikan sokongan oleh lima ADUN Bersatu, kepimpinan Pas pusat membuat keputusan yang lebih menarik perhatian apabila menghentikan keahlian tiga ADUN parti itu serta-merta.
Ketiga-tiga mereka sebelum ini dikaitkan dengan gerakan mahu menarik sokongan terhadap Shukri.

Keputusan Pas pusat itu bermakna ADUN Chuping Saad Seman, ADUN Bintong Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji Ridzuan Hashim bukan sahaja terhenti sebagai ahli Pas malah lebih teruk daripada itu mereka tergugur dengan sendiri kedudukan sebagai ADUN.
Ia memandangkan dalam kenyataan media beliau, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata,: ‘’Pas akan memaklumkan ketetapan ini secara rasmi kepada Spekar DUN Perlis bagi tujuan memenuhi Perkara 50A (1) (a) (ii) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022 serta-merta.
Berdasarkan enakmen berkenaan ia bermakna ketiga-tiga kerusi diisytiharkan kosong sebaik sahaja Speaker menerima surat pemakluman daripada Pas. Berikutan itu pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan bagi mengisi kekosongan berkenaan.
Enakmen itu menyatakan:
Perkara 50a. (1) Tertakluk kepada peruntukan perkara ini, seseorang ahli Dewan Negeri hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Negeri dan kerusinya hendaklah menjadi kosong sebaik sahaja suatu tarikh kekosongan luar jangka dipastikan oleh Speaker
di bawah Fasal (3) jika—
(a) setelah dipilih ke Dewan Negeri sebagai anggota suatu parti politik—
(i) dia melepaskan keanggotaan parti politik itu; atau
(ii) dia tidak lagi menjadi anggota parti politik itu; atau
(b) setelah dipilih ke Dewan Negeri bukan sebagai anggota suatu parti politik, dia menyertai suatu parti politik sebagai anggota.
(2) Seseorang ahli Dewan Negeri tidak terhenti menjadi ahli Dewan Negeri menurut perkara ini hanya disebabkan oleh—
(a) pembubaran atau pembatalan pendaftaran parti politiknya;
(b) pelepasan keanggotaannya daripada parti politiknya
apabila dipilih sebagai Speaker; atau
(c) pemecatannya daripada keanggotaan dalam parti politiknya.
(3) Apabila Speaker menerima notis bertulis daripada mana-mana ahli Dewan Negeri mengenai berlakunya kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli Dewan Negeri di bawah perkara ini, Speaker hendaklah memastikan bahawa berlakunya kekosongan luar jangka itu dan memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya sewajarnya dalam tempoh dua puluh satu hari dari tarikh dia menerima notis bertulis itu.
Ia bermakna senario yang pernah berlaku di DUN Nenggiri akan berulang di tiga DUN di Perlis apabila ADUN gugur sebagai ahli parti yang diwakilinya. Sebarang usaha untuk mencabar keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat berhubung pemberhentian keahlian dalam parti hingga gugur jawatan ADUN hanya sia-sia.
Ini memandangkan Perkara 50(A) Enakmen Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis menyatakan dengan jelas apa yang akan berlaku jika seorang ADUN tidak lagi menjadi ahli parti diwakilinya.
Seperti biasa akan ada pihak yang mengkritik keputusan Pas itu tetapi Pas adalah sebuah parti berprinsip dan sama sekali tidak akan berkompromi dalam soal disiplin parti. Tindakan ketiga-tiga ADUN itu yang dikaitkan dengan gerakan bagi menggantikan Shukri sebagai Menteri Besar dianggap sudah melanggar disiplin parti, apatah lagi Shukri adalah ADUN Sanglang daripada Pas.
Pas tidak peduli pun apa yang berlaku dalam PRK jika pilihan raya diadakan kerana mereka yakin apa yang dilakukan adalah betul. Malah penduduk di DUN-DUN tersebut juga pasti memahami tindakan Pas.
Persoalannya, apa pula langkah Bersatu terhadap ADUN-ADUN parti itu yang dikatakan merancang menarik sokongan terhadap Shukri? Kalau betul tindakan itu berlaku, adakah apa yang mereka lakukan mendapat restu pimpinan pusat?
Seharusnya atas semangat setiakawan dalam Perikatan Nasional, Bersatu juga patut mengambil tindakan tegas terhadap ADUN—ADUNnya yang cuba menjatuhkan kepimpinan Shukri. Ia memandangkan Shukri adalah Pas dan Pas adalah rakan gabungan dalam PN.
Beberapa bulan lalu, penulis beberapa kali ke Perlis atas urusan kerja dan sempat meninjau keadaan politik termasuk soal kepimpinan Shukri sebagai Menteri Besar, penulis tidak akan berlapik untuk menyatakan bahawa Perikatan Nasional khususnya Pas perlu menggantikan beliau.
Tetapi itu pandangan penulis, Pas mungkin mempunyai pandangan lain tetapi kalaupun Shukri mahu diganti, buatlah peralihan kuasa secara tertib antara ADUN Pas melalui keputusan kepimpinan Pusat.
Justeru tindakan Pas ke atas ADUNnya adalah ujian kepada Bersatu untuk membuktikan sejauhmanakah semangat setiakawan mereka. Apakah mereka akan bertindak ke atas ADUN-ADUN mereka yang heboh diperkatakan, atau membiarkan krisis tersebut diuruskan oleh Pas sendirian.
Soalnya beranikah Bersatu bertindak ke atas ADUN-ADUN terlibat. Kalau mereka menggugurkan keahlian ADUN berkenaan maknanya kesemua kerusi DUN milik Bersatu kosong. Jadi Bersatu perlu memikirkan apa kaedah terbaik bagi menyelesaikan konflik yang berlaku tetapi yang pasti ‘jangan bermimpi’ mahukan kerusi Menteri Besar kerana ‘Bersatu minoriti.
Apapun krisis politik Perlis kini sudah memasuki episod sekurang-kurangnya tiga PRK akan diadakan di negeri yang mempunyai hanya tiga kerusi Parlimen dan 15 kerusi DUN tetapi tidak pernah sunyi daripada keributan politik…hebat Perlis ni..


