Orang Melayu cuak kementerian diterajui DAP

ORANG Melayu sering cuak bila sesebuah kementerian diterajui pemimpin DAP. Tapi, jarang sekali orang Melayu suarakan keresahannya terhadap Kementerian diterajui bangsanya sendiri, walhal, prestasi sesetengah Kementerian atau agensi pusat, yang menjaga kepentingan bangsa, sekadar melepaskan batok di tangga saja.

Ye, kementerian atau agensi itu berperanan seperti biasa, digerakkan oleh jentera pentadbiran yang sekadar menjalankan tugas harian atau tugas rutin masing-masing. Dari aspek manfaat politik kepada orang Melayu, semacam tidak ketara, atau dalam bahasa kasarnya, tiada siapa yang peduli.

Tiada siapa peduli buat sekian lamanya TERAJU ibarat hidup segan, mati tak mahu. Kadang kala secara tiba-tiba, terdengar agensi itu nak buat itu dan ini. Dah berusia lebih 15 tahun, tak sekalipun agensi itu hasilkan Kad Laporan Tahunan prestasinya membantu komuniti usahawan bumiputera.

Tiada siapa peduli bila Talent Corp dipindahkan ke Kementerian Sumber Manusia, sebagai agensi pembangunan kerjaya, walhal, perbadanan ini adalah kembar tiga (bersama Ekuinas dan MTAB) yang Kerajaan Barisan Nasional (BN) tubuhkan semasa melancarkan RMK-10, pada Julai 2010. Ia bagi menjayakan teras Pembangunan kerjaya, agenda bumiputera.

Tiada siapa berani menegur Ekuinas yang fungsinya tersasar jauh dari matlamat asal penubuhannya, iaitu, untuk meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera, terutama dalam pasaran ekuiti.

Kepada mereka yang masih ingat, Ekuinas diperbadankan bagi mengendalikan pemilikan ekuiti bumiputera, manakala Talent Corp pula bagi meningkatkan penguasaan bumiputera dalam kerjaya berprofail tinggi. TERAJU pula diperbadankan apabila Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) yang kemudiannya dijenamakan sebagai Majlis Agenda Bumiputera (MAB), merasakan sebuah Sekretariat Tetap menyamai PEMANDU wajar ditubuhkan sebagai Sekretariat Tetap kepada MAB.

Akan tetapi pengurusan TERAJU merasakan yang ia adalah sebuah agensi pusat pembangunan agenda bumiputera. Hatta, tiadalah TERAJU berurusan dengan semua kementerian, semua kerajaan negeri dan semua agensi dalam memastikan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan dan dimanfaatkan sepenuhnya.

Itu sebabnya hingga kini agenda bumiputera hanya indah di atas kertas saja. Bumiputera sendiri pun tak peduli akan agendanya. Entah berapa ramai dalam kalangan kita yang mengetahui hak-hak kita seperti mana terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Keadaan lebih parah di kementerian-kementerian diterajui sama ada pemimpin DAP atau sekutu politik mereka dalam Pakatan Harapan. Contohnya, tiada siapa ambil peduli bila Kementerian Kesihatan  diperkudakan oleh orang lain bagi menghalalkan program kepakaran bidang perubatan oleh kolej-kolej swasta luar negara, dalam usaha mereka meramaikan pakar perubatan dalam kalangan mereka.

Sudah tentulah tiada pemimpin, malah penjawat awam Melayu ambil peduli nasib pemain industri orang Melayu dalam sektor perkapalan, maritim dan logistik, kerana menterinya tidak pernah  orang Melayu.

Begitulah juga nasih pemain industri Melayu dalam sektor penerbangan dan pengangkutan udara, yang kini kian lenyap, sekadar bermegah dengan MAB dan Airod semata-mata. Secara kebetulan, baru-baru ini, semasa bercuti bersama keluarga ke selatan tanah air, saya berkesempatan berjumpa dan bersembang dengan rakan dan  taulan dalam dua bidang perindustrian. Keresahan mereka, sekalipun dalam dua dunia bisnes berlainan, adalah sama.

Satu kumpulan ini cuak bila mereka dapati tidak ramai dalam kalangan kita ambil peduli isu pemilikan tanah orang Melayu di luar bandar kian terhakis dan perlahan-lahan kuasa ekonomi desa dalam sektor tanaman perladangan, terlepas dari tangan orang Melayu, sekalipun kedua-dua kementerian ini, Kementerian Perladangan dan Komoditi dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah  diterajui oleh orang Melayu.

Ramai anak Melayu berilmu dan berpengalaman tinggi, komited untuk bangkitkan kembali bidang pertanian komersil, di desa. Pun begitu, banyak ranjau mereka terpaksa redah.

Semakin banyak tanah milik orang Melayu rancak tergadai dan terlepas ke tangan orang lain. Dalam industri minyak sawit misalnya, jika pun ada usahawan Melayu yang kendalikan Pusat Pembelian Buah Sawit (pusat timbang, kata bahasa orang kampung), dari mana mereka nak dapatkan belian buah tandan segar?

Dalam pada itu, mereka juga terpaksa bersaing dengan beberapa pusat timbang yang pada namanya dimiliki koperasi agensi kerajaan, hakikatnya lesen-lesen itu dipajakkan kepada orang lain. Nak dapatkan kerjasama pelbagai agensi pengupaya yang ditadbir urus anak bangsa sendiri pun liat.

Jom ajak pemimpin Melayu dan penjawat awam bangsa kita sama-sama turun padang dan lihat sendiri dengan mata kepala kita, apa yang terjadi di bawah sana.

Insya-Allah, bulan depan, MPM akan mengadakan sidang meja bulat di lapangan, di pusat timbang milik anak Melayu, di Machap, Johor, bagi membolehkan rakan- rakan di MPM mendengar dan melihat sendiri sejauh mana kebenaran yang mengatakan ekonomi desa pun orang Melayu sudah tak mampu kuasai.

Kumpulan kedua ini pula ialah  rakan-rakan kita yang menceburi industry perkapalan, maritim dan logistik. Dengar katanya, hampir kesemua agensi pengupaya yang berkaitan ditadbirurus  oleh anak bangsa Melayu. Jika demikian, apa ranjau yang menyukarkan mereka untuk menjadi usahawan terbilang?

MPM ingin mendengar sendiri kenapa susah sangat penjawat awam Melayu hendak mengupayakan bisnes orang Melayu. Atau Kementerian berkaitan yang menjadi ranjaunya. Atau usahawan anak bangsa itu sendiri yang diragui kredibilitinya. Atau, entah ada cerita-cerita lain yang tersembunyi?

Sudah acap kali MPM dengar rintihan sedemikian. Jom bersama melihat dan mendengar sendiri realti di lapangan.

Jika ada pemberita, wakil pemimpin politik, wakil TERAJU dan para pegawai kementerian yang ingin turut sama, MPM amat alu-alukan.

Sudah acap kali orang Melayu cuak bila pemimpin DAP bergerak cergas melaksanakan beberapa agenda yang orang Melayu lihat ada kepentingan politik kepada bangsa mereka.

 Itulah suara-suara lantang yang kedengaran, misalnya, bila KPKT tegar akan bentangkan semula RUU PSB di sidang Parlimen akan datang. Jelas sekali, sesama kita orang Melayu, budaya kebersamaan minda dalam kalangan kita, sudah amat asing bagi kita. Jelas sekali, kita tidak pernah ambil iktibar daripada pengalaman kehilangan kuasa politik, sekalipun kita kuasai demografi. Kita hanya tersedar dan rasa insaf, bila kedudukan kita ibarat ‘nyawa-nyawa ikan’.

Terkini, komuniti ekonomi orang Melayu amat bergantung harap kepada Menteri di MITI menaungi mereka, bila mana KUSKOP buat pertama kalinya diterajui pemimpin DAP.

Setakat ini belum terdengar agenda politik orang Melayu di MITI, bagi memanfaatkan usahawan Melayu yang pastinya akan semakin ramai ingin beralih naungan dari KUSKOP ke MITI.

Insya-Allah, selepas dua sidang meja  bulat di lapangan itu nanti, MPM akan buat satu sidang Perkara 153 bagi mengaitkan kesemua kementerian dan agensi yang dimaksudkan itu. Hendaknya Tahun Baharu 2026 lebih bermakna kepada orang Melayu, sekalipun kuasa politiknya kian tidak menentu.

*Penulis adalah Setiausaha Agung  Majlis Perundingan Melayu (MPM)

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img