TINDAKAN seorang lelaki melarikan diri daripada pemeriksaan sekatan jalan raya (SJR) dan memandu secara berbahaya membawa padah apabila dia berjaya diberkas polis di Jedok, dekat Tanah Merah, semalam.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, dalam kejadian itu polis turut merampas 11 biji pil kemerahan disyaki dadah.
Menurutnya, operasi bersepadu pencegahan jenayah dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli kira-kira jam 3 petang di Batu 6, Jalan Raya Timur Barat, Batu Melintang.
“Kira-kira jam 6.20 petang, sebuah kereta jenis Honda Accord dari arah Gerik ke Jeli bertindak memecut laju melalui SJR dan meloloskan diri daripada pemeriksaan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, maklumat itu disalurkan kepada bilik gerakan sebelum anggota kenderaan peronda polis (MPV) dan pasukan task force mengesan serta mengejar kenderaan terbabit hingga ke Tanah Merah.
Katanya, suspek enggan berhenti walaupun diarahkan dan bertindak membuat pusingan U secara mengejut di Jalan Jedok sehingga melanggar kenderaan polis.
“Suspek akhirnya berjaya ditahan bersama barang rampasan iaitu keratan straw berisi 10 biji pil kemerahan disyaki dadah yang ditemui di bawah pelapik kaki bahagian pemandu serta satu lagi straw mengandungi sebiji pil di tepi pintu kenderaan,” katanya.
Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis 1967, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, serta Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


