Oleh Penulis Khas
JAWATAN Panglima Tentera Darat (PTD) merupakan antara jawatan paling strategik dalam ekosistem pertahanan negara.
Ia bukan sekadar kedudukan hierarki tertinggi dalam Tentera Darat Malaysia (TDM) tetapi simbol kepimpinan operasi, budaya profesionalisme dan arah masa depan pasukan darat negara. Justeru, persoalan tentang siapa yang layak dan daripada kor mana kepimpinan tertinggi ini wajar datang, bukan isu remeh atau bersifat dalaman semata-mata tetapi ia adalah isu kepentingan nasional.
Selama beberapa dekad terdapat satu realiti tidak bertulis dalam TDM: jawatan Panglima Tentera Darat hampir secara konsisten digilirkan dalam kalangan pegawai daripada Kor Askar Melayu Diraja (RAMD).
Walaupun RAMD sememangnya tulang belakang infantri, lebih ramai dan telah melahirkan pegawai-pegawai berkaliber, persoalan yang semakin kuat dibangkitkan hari ini ialah: adakah kepimpinan tertinggi Tentera Darat harus terus terikat kepada satu kor sahaja?

Hujah yang sering digunakan untuk mempertahankan amalan ini ialah faktor tradisi, senioriti dan pengalaman infantri sebagai “teras” peperangan darat. Namun dalam konteks peperangan moden hujah ini semakin rapuh.
Tentera Darat hari ini bukan lagi entiti infantri semata-mata, tetapi sebuah angkatan multidomain yang melibatkan pasukan mekanis, armor, artileri, risikan, kejuruteraan tempur dan pasukan khas.
Kor Renjer Diraja sebagai contoh mempunyai sejarah operasi yang panjang, pengalaman medan yang luas serta reputasi sebagai pasukan tempur elit dalam pelbagai bentuk konflik daripada perang konvensional, operasi counter-insurgency, hingga operasi keselamatan dalaman.
Pegawai-pegawai Renjer telah memimpin batalion, briged dan formasi besar dengan rekod profesional yang tidak kurang cemerlang berbanding mana-mana kor lain. Jika kriteria kepimpinan tertinggi hanya berlegar pada asal kor maka TDM berisiko terperangkap dalam kitaran budaya tertutup yang mengutamakan asal-usul berbanding merit sebenar.
Angkatan tentera moden di seluruh dunia semakin menekankan meritokrasi strategik iaitu pemilihan kepimpinan berdasarkan keupayaan berfikir strategik, integriti, pengalaman rentas fungsi dan kebolehan memimpin dalam persekitaran kompleks. Dalam banyak negara maju, latar belakang kor bukan faktor penentu tunggal untuk jawatan tertinggi perkhidmatan.
Sebaliknya, pegawai yang pernah berkhidmat dalam pelbagai formasi, memahami operasi gabungan (joint operations) dan mempunyai pendedahan strategik di peringkat nasional dan antarabangsa lebih dinilai untuk jawatan tertinggi.
Jika Tentera Darat Malaysia benar-benar ingin melahirkan kepimpinan masa depan yang relevan, maka laluan ke jawatan Panglima Tentera Darat perlu dibuka secara lebih telus dan inklusif kepada semua kor tempur yang memenuhi kriteria profesional dan strategik.
Isu ini bukan sekadar soal struktur tetapi turut memberi kesan psikologi yang mendalam kepada warga Tentera Darat, khususnya pegawai dan anggota daripada kor selain RAMD. Apabila satu kor dilihat secara konsisten “dimiliki” laluan ke puncak kepimpinan, ia mewujudkan persepsi bahawa sumbangan kor lain bersifat sokongan, bukan setara.
Persepsi sebegini jika berlarutan boleh melemahkan motivasi, menjejaskan semangat kesatuan (spirit de corps) dan akhirnya memberi kesan kepada kohesi keseluruhan Tentera Darat. Dalam organisasi bersenjata, perasaan keadilan institusi adalah elemen penting kepada disiplin dan kesetiaan.
Seorang pegawai yang merasakan siling kerjayanya ditentukan bukan oleh prestasi tetapi oleh asal kor akan sukar untuk memberikan komitmen maksimum kepada institusi dalam jangka panjang.
Kepimpinan yang terlalu homogen dari segi latar belakang kor berisiko mewujudkan apa yang dikenali sebagai strategic echo chamber di mana pemikiran, pendekatan dan keputusan dipengaruhi oleh pengalaman dan perspektif yang hampir serupa.
Dalam persekitaran keselamatan yang semakin kompleks, Tentera Darat memerlukan kepimpinan yang berani mencabar andaian lama menerima perspektif berbeza dan memahami kepelbagaian bentuk peperangan darat.
Pegawai daripada Kor Renjer, armor, atau formasi lain membawa sudut pandang operasi yang berbeza yang boleh memperkayakan pembuatan keputusan strategik. Kepelbagaian latar belakang bukan ancaman kepada tradisi ia adalah kekuatan institusi.
Pengiliran Panglima Tentera Darat bukanlah keputusan yang boleh dibuat secara populis atau emosional. Ia memerlukan kesedaran dan keberanian daripada pihak berkepentingan utama, termasuk kepimpinan tertinggi ATM, MINDEF, dan sistem nasihat kepada Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera.
Apa yang diperlukan ialah satu kerangka pemilihan yang jelas, telus dan berasaskan kompetensi, di mana, Latar belakang kor tidak menjadi halangan struktural integriti dan rekod perkhidmatan menjadi asas penilaian.
Pengalaman operasi dan strategik diberi keutamaan. Langkah ini bukan bertujuan menafikan peranan RAMD tetapi untuk memastikan Tentera Darat berkembang sebagai sebuah institusi profesional yang matang dan inklusif.
Tentera Darat Malaysia sedang berada di persimpangan penting. Dunia keselamatan sedang berubah dan institusi pertahanan tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada tradisi tidak bertulis yang tidak pernah dinilai secara kritikal.
Membuka laluan jawatan Panglima Tentera Darat kepada kor tempur lain seperti Kor Renjer bukan satu tindakan radikal. Ia adalah langkah evolusi institusi selari dengan tuntutan profesionalisme, keadilan dan keberkesanan operasi.
Soalnya bukan siapa yang patut menggantikan siapa. Soalnya ialah apakah jenis Tentera Darat yang kita mahu bina untuk masa depan yang tertutup dan berasaskan kebiasaan, atau yang terbuka dan berasaskan keupayaan sebenar. Dalam soal pertahanan negara keberanian untuk berubah adalah sama penting dengan keberanian di medan tempur.
*Jika anda mempunyai pandangan mengenai artikel ini atau mahu menyumbang artikel di ruangan ini, anda boleh emel kepada editor@utusanmelayuplus.com.


