BEKAS Panglima Tentera Darat (PTD) bersama dua orang isterinya tiba di Mahkamah Putrajaya bagi proses permohonan reman berhubung kes siasatan rasuah melibatkan tender perolehan Tentera Darat kira-kira jam 10.02 pagi tadi.
Ketiga-tiga individu itu dibawa menaiki kenderaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Setakat ini, media masih lagi menantikan perkembangan proses permohonan reman berkenaan.
Semalam, SPRM mengesahkan akan memohon perintah reman terhadap tiga individu terbabit selepas mereka ditahan, ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya sekitar jam 3 petang semalam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, tindakan menahan bekas PTD itu dibuat, selepas beliau dibenarkan keluar dari hospital susulan rawatan tekanan darah tinggi.
SPRM sebelum ini turut menahan reman 17 pengarah syarikat yang disyaki terbabit dalam rangkaian kartel tender projek perolehan berkenaan.


