MALAYSIA Airlines mengesahkan penerbangan MH21 yang beroperasi dari Lapangan Terbang Charles de Gaulle (CDG), Paris ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL), semalam terpaksa berpatah balik dan mendarat semula di CDG susulan masalah teknikal.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu memaklumkan, tindakan itu sebagai langkah berjaga-jaga susulan pengesanan ketidaknormalan pada petunjuk enjin.

Menurutnya, penerbangan gantian MH21D bagaimanapun dijadualkan berlepas dari CDG pada 1 petang waktu tempatan hari ini.
“Selaras dengan prosedur keselamatan penerbangan standard, kru penerbangan telah memohon pengendalian keutamaan dan mematuhi arahan Kawalan Trafik Udara, termasuk penggunaan kod transponder kecemasan.
“Ini bagi memudahkan kepulangan selamat ke CDG untuk pemeriksaan teknikal. Pesawat tersebut mendarat dengan selamat pada 3.35 petang waktu tempatan di Paris,” kata Malaysia Airlines dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan juruterbang pesawat Airbus A350 Malaysia Airlines mengisytiharkan kecemasan sejurus selepas berlepas dari CDG, Paris semalam.
Penerbangan MH21 berlepas dari CDG pada jam 11.55 pagi waktu tempatan (CET), kira-kira 45 minit lewat daripada jadual asal berikutan keadaan salji di lapangan terbang berkenaan.
Malaysia Airlines berkata, penumpang yang terjejas ditempatkan semula ke syarikat penerbangan alternatif sekiranya ada manakala sebahagian penumpang lain disediakan penginapan di hotel berhampiran lapangan terbang.
“Malaysia Airlines amat kesal atas segala kesulitan dan gangguan terhadap perancangan perjalanan penumpang. Keselamatan kekal sebagai keutamaan utama Malaysia Airlines,” kata kenyataannya.


