Kes Yayasan Akalbudi : Zahid akan mohon pembebasan penuh

PASUKAN guaman Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan memfailkan permohonan untuk mendapatkan pembebasan penuh dalam kes rasuah Yayasan Akalbudi, kata peguamnya.

Peguam bela utama, Hisyam Teh Poh Teik, berkata satu permohonan akan difailkan bagi menukar perintah lepas tanpa dibebaskan (DNAA) yang sebelum ini diberikan kepada Zahid kepada lepas dan bebas (DAA).

“Kami akan memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat untuk mendapatkan DAA,” katanya kepada FMT bagi mengulas keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengklasifikasikan kes itu sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Hisyam berkata keputusan AGC itu menunjukkan pihak pendakwaan tidak lagi berhasrat untuk meneruskan perbicaraan.

Pada 2023, hakim perbicaraan Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan DNAA terhadap Zahid atas 47 pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut.

Hari ini, AGC memaklumkan bahawa pihaknya mendapati bukti tidak mencukupi untuk meneruskan pertuduhan susulan siasatan oleh SPRM.

Sementara itu, seorang peguam kanan yang enggan dikenali berkata adalah penting untuk Zahid diberikan pembebasan penuh.

“Status DNAA ketika ini membolehkan pihak pendakwaan menghidupkan semula kes terhadap beliau pada bila-bila masa,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img