Isu rasuah dan moral: Pemuda Pas gesa bersihkan ATM daripada unsur negatif

PEMUDA  Pas mendesak agar siasatan terhadap kes rasuah perolehan tender dan isu aktiviti tidak bermoral melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijalankan secara adil, telus dan tegas tanpa sebarang kompromi.

Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata,  langkah itu penting bagi membersihkan semula nama baik ATM di mata rakyat serta masyarakat antarabangsa amnya.

⁠’’ ⁠Meskipun beranggapan bahawa penyiasatan terhadap kedua-dua kes ini tidak mudah kerana berprofil tinggi serta telah lama menjalar, namun ketegasan dan keterbukaan pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan sangat wajar bagi memastikan kes-kes ini dapat dituntaskan sehingga ke penghujungnya,’’katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Star berkata,  ⁠⁠Pemuda Pas  turut menggesa Kerajaan supaya memastikan penyiasatan kes-kes yang didedahkan dapat dijalankan tanpa sebarang campur tangan pihak luar mahupun dalam.

‘’Kita tidak seharusnya berkompromi dengan salah laku yang berlaku dan tindakan tegas wajar diambil sekiranya didapati bersalah,’’ katanya.

Afnan Hamimi menegaskan, Pemuda Pas  mengikuti secara rapat perkembangan kes rasuah yang membabitkan rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).

‘’Pendedahan demi pendedahan yang berlaku amat membimbangkan kerana ia melibatkan aspek kritikal pertahanan negara, termasuk perolehan aset, kelengkapan serta perkhidmatan yang memberi kesan langsung terhadap tahap kesiapsiagaan angkatan tentera,’’ katanya.

 Beliau berkata,  isu itu bukan sahaja menyentuh kelemahan tadbir urus dalam TDM, malah turut memberi kesan langsung terhadap kualiti aset pertahanan negara.

‘’ Apabila kontrak dianugerahkan berasaskan sogokan dan bukannya merit serta keperluan sebenar, TDM berisiko memperoleh peralatan yang tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan. Keadaan ini bukan sahaja mengakibatkan pembaziran wang rakyat, malah turut membahayakan nyawa anggota semasa latihan mahupun operasi sebenar,’’ tegasnya.

Dalam masa yang sama, kata beliau, Pemuda Pas memandang serius penularan aktiviti tidak bermoral yang didakwa berlaku melibatkan pegawai ATM yang turut ditularkan di media sosial.

‘’Perkara ini bukan sahaja mencemarkan imej ATM, malah menunjukkan bahawa budaya warisan asing yang tidak selari dengan nilai dan jati diri tempatan masih lagi diamalkan dalam kalangan anggota tentera,’’ katanya.

 ⁠Sehubungan itu, kata beliau Pemuda Pas menegaskan bahawa penghayatan ajaran agama Islam perlu diterapkan secara lebih menyeluruh dalam diri setiap anggota keselamatan negara.

‘’Ketiadaan penghayatan agama yang sebenar bukan sahaja merosakkan akhlak dan sahsiah anggota, malah berpotensi melemahkan disiplin serta keselamatan negara secara keseluruhan,’’ katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img