Pimpinan MDIO bertukar, legasi dihormati, amanah diteruskan, kepentingan negara diutamakan

Oleh Penulis Khas

DALAM  landskap keselamatan negara yang semakin kompleks dan mencabar, kepimpinan yang berwibawa, berprinsip dan berpandangan jauh merupakan aset strategik yang tidak ternilai.

Sehubungan itu, warga keselamatan dan pertahanan negara merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Leftenan Jeneral Datuk Mohd Razali bAlias, mantan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan atas jasa, bakti dan kepimpinan cemerlang beliau sepanjang menerajui Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO).

Sepanjang tempoh kepimpinan beliau, MDIO telah melalui fasa pemerkasaan yang signifikan bukan sahaja dari sudut keupayaan perisikan pertahanan dalam negeri malah di peringkat serantau dan antarabangsa.

Di bawah kepimpinan Mohd Razali, MDIO telah mengukuhkan peranannya sebagai rakan strategik yang dihormati khususnya dalam diplomasi ketenteraan dan kerjasama perisikan ASEAN, selari dengan aspirasi Malaysia sebagai negara yang mengutamakan kestabilan serantau, keamanan dan saling percaya.

Pendekatan profesional, berintegriti dan berteraskan kepakaran yang dibawa oleh beliau telah memperkukuh kredibiliti MDIO sebagai benteng senyap negara berfungsi secara strategik, berdisiplin dan tidak terdedah kepada kepentingan sempit.

Legasi ini bukan sekadar tercermin melalui pencapaian operasi, tetapi juga melalui pembinaan budaya organisasi yang menekankan nilai kesetiaan, kerahsiaan, ketepatan analisis dan tanggungjawab kepada negara.

Seiring dengan peralihan kepimpinan, warga MDIO dan ekosistem pertahanan negara mengalu-alukan pelantikan Mejar Jeneral Datuk Saharuddin Harun sebagai Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan yang baharu.

Pelantikan ini dilihat sebagai kesinambungan kepada tradisi kepimpinan profesional MDIO berasaskan pengalaman luas, kewibawaan peribadi serta kefahaman mendalam terhadap landskap keselamatan moden yang semakin dipengaruhi oleh ancaman hibrid, peperangan maklumat dan dinamika geopolitik serantau.

Ketua Anggota Tentera Cawangan Khas, Brigedier Jeneral Ismail Abu Seman.
Pengarah Perisikan Strategik Brigedier Jeneral Abu Hashim Jamaludin
Pengarah Bahagian Aplikasi Perisikan Pertahanan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) Brigedier Jeneral Datuk Abdul Razak Sipit.

Saharuddin dijangka meneruskan legasi perisikan pertahanan yang kukuh dengan sokongan barisan pegawai kanan MDIO yang berkebolehan, berpengalaman dan berintegriti tinggi seperti Ketua Anggota Tentera Cawangan Khas, Brigedier Jeneral Ismail Abu Seman,  Pengarah Perisikan Strategik Brigedier Jeneral Abu Hashim Jamaludin dan  Pengarah Bahagian Aplikasi Perisikan Pertahanan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) Brigedier Jeneral Datuk Abdul Razak Sipit sekali gus memastikan kesinambungan operasi, kestabilan institusi dan keupayaan analisis strategik negara terus diperkasakan.

Gabungan kepimpinan dan kepakaran ini diyakini mampu memperkukuh MDIO sebagai organisasi perisikan pertahanan yang relevan, adaptif dan diyakini oleh rakan strategik serantau serta antarabangsa.

Warga MDIO keseluruhannya merakamkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Razali atas sumbangan besar beliau kepada negara serta mendoakan kesejahteraan dan kejayaan berterusan dalam apa jua amanah yang bakal dipikul selepas ini.

Dalam masa yang sama, seluruh warga organisasi menyatakan komitmen dan sokongan penuh kepada kepimpinan baharu Saharuddin  dalam meneruskan tanggungjawab besar mempertahankan keselamatan, kedaulatan dan kepentingan strategik negara.

Sesungguhnya, peralihan kepimpinan ini bukan sekadar pertukaran individu tetapi manifestasi kematangan institusi perisikan pertahanan negara di mana legasi dihormati, amanah diteruskan dan kepentingan negara sentiasa diutamakan.

  • E-mel komen atau artikel anda kepada editor@utusanmelayuplus.com

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img