SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus menggempur habis-habisan salahguna kuasa, rasuah dan penyelewengan apabila bakal bertindak ke atas sekurang-kurangnya tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selepas dikesan mengumpul ‘harta haram’ hasil kutipan dana jutaan ringgit.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, risikan dan siasatan sudah dilakukan pihaknya terhadap NGO berkenaan.
“Dalam masa terdekat akan ada lagi pertubuhan (NGO) yang bakal diambil tindakan mahkamah (oleh SPRM).
“Mereka masih ‘menunggang’ agama, mengutip duit berjuta-juta (tetapi wang) masuk ke dalam akaun peribadi chairman (pengerusi NGO). Mereka ini akan dituduh di mahkamah tidak lama lagi,” katanya lapor Harian Metro.
Azam berkata, sikap dermawan rakyat Malaysia yang mudah bersimpati dan menghulurkan bantuan diambil kesempatan oleh golongan tidak jujur berkenaan.
“Rakyat tertipu kerana mereka suka membantu melalui dana awam. Mereka sangkakan duit didermakan itu untuk orang susah. Contohnya mangsa bencana banjir besar di Aceh, Sumatera.
“Namun diambil kesempatan organisasi ini. Saya dapati ada organisasi ini termasuk yayasan didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS). Ini duit rakyat… rakyat kena tipu. Katanya duit dihantar ke Palestin tetapi ada ditukar kepada bentuk emas. Kenapa? Ke mana duit derma itu?



