POLIS sedang memburu seorang lelaki bagi membantu siasatan kes pukul dan ugut teman wanitanya di Gelang Patah, Iskandar Puteri pada bulan lalu.
Mangsa yang berusia 36 tahun mendakwa dia diugut dan dipukul kekasihnya berusia 35 tahun, kira-kira jam 10 malam, pada 28 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kejadian berpunca apabila suspek menuduh mangsa mencuri barang-barang milik suspek, namun dinafikan mangsa.
“Mangsa kemudian membuat laporan polis di Iskandar Puteri pada 10 Januari lalu, mendakwa dia dipukul dan diugut teman lelakinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Kumarasan, hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod dikehendaki bersabit kes dadah.
Susulan itu, kata beliau, polis sedang mengesan suspek dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan secara sengaja tanpa senjata atau benda berbahaya.
Katanya, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya.
“Kes ini turut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.


