SEORANG lelaki maut manakala isteri dan anak perempuannya cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta dipandu seorang wanita hamil di Jalan Tanah Merah dekat Pendang, Kedah hari ini.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 11.10 pagi itu, mangsa, Muhammad Hafiz Mahyar, 37, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan kedua-dua kaki.
Timbalan Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintenden Mohd Rosli Yusof berkata, kejadian membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Axia dipandu seorang wanita berusia 26 tahun yang hamil lapan bulan dari arah Pendang menghala ke Kubur Panjang.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi, kereta dipandu wanita itu dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.
“Kereta terbabit dikatakan bertembung dengan motosikal dinaiki tiga beranak itu yang sedang bergerak lurus. Akibat pelanggaran itu, kesemua mangsa telah tercampak ke atas jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Rosli, isteri mangsa yang berusia 31 tahun cedera di kepala dan retak tulang pinggul manakala anak mereka yang berusia satu tahun lapan bulan retak tempurung kepala serta patah paha kanan.
Katanya, pemandu kereta wanita itu mengalami kecederaan pada bahagian perut.
Tambah beliau, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat manakala kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


