‘Hadiah’ hari jadi bermakna…dijemput ke perhimpunan Pemuda…apakah KJ  kembali ke dalam UMNO?

 

GENAP tiga tahun Khairy Jamaluddin (KJ) dipecat daripada UMNO pada 23 Januari 2023, hari ini, bekas Ketua Pemuda UMNO itu kembali menjejak kaki di perhimpunan pergerakan itu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Biarpun bekas Ahli Parlimen Rembau tersebut kelihatan tenang dan ceria, namun perasaan sebak tetap menyelubunginya apabila Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr.Muhammad Akmal Saleh yang menjemput beliau, mengalu-alukakan KJ yang genap usia 50 tahun Ahad lalu.

Sesungguhnya mungkin tiada hadiah hari jadi paling bermakna buat KJ selain dapat berkumpul semula dengan bekas-bekas rakan seperjuangan di perhimpunan berkenaan. Dengan berbaju Melayu berwarna dan bersampin merah (bagaikan ahli Pemuda UMNO), KJ melangkah masuk ke perhimpunan sayap UMNO yang suatu ketika  selama sembilan tahun beliau mengetuainya.

Kata Akmal, kehadiran Khairy bukan sekadar simbol kepulangan seorang tokoh lama, sebaliknya lambang UMNO kekal sebagai ‘rumah’ buat bekas pemimpin.

“Ditendang kiri dan kanan, diasak atas dan bawah… hari ini saya nak beritahu, jiwa besar Presiden UMNO (Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi). Alhamdulillah, kita jemput chief (KJ) kembali masuk ke Dewan Merdeka ini. Saya percaya ini rumah kita. Di sinilah segalanya bermula,” kata Akmal ketika menyampaikan ucapan dasar.

KJ dilihat bangun dari tempat duduknya dengan wajah sebak, mengangkat tangan ke arah perwakilan sebagai tanda penghormatan..maka bergemalah Dewan Merdeka dengan tepukan gemuruh.

Khairy Jamaluddin ketika berucap pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2009 di Dewan Merdeka.

Penulis masih ingat bagaimana di Dewan Merdeka inilah ketika KJ berucap buat kali pertama sebagai Ketua Pemuda UMNO di sesi penggulungan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO pada 16 Oktober 2009, beliau telah ‘diboo’ oleh segelintir perwakilan.

Selepas beberapa jam perhimpunan berakhir, penulis ditugaskan untuk mendapat komen, beliau, penulis berkesempatan bertemu dengan KJ di bilik Ketua Pemuda, ketika perasaannya berikutan apa yang berlaku, KJ berkata dengan tenang dan wajah ceria,’’tak apa bang…biasalah dalam politik…saya ok.’’

Ketenangan itulah yang membuahkan hasil, apabila itulah kali pertama dan terakhir KJ ‘diboo’ oleh perwakilan di Dewan Merdeka , pada tahun-tahun seterusnya setiap kali beliau berucap, perwakilan memberi tumpuan dan tepukan.

Itulah sejarah, itulah kenangan, namun yang pasti sehingga ke hari ini, KJ terus setia bersama UMNO biarpun dipecat dan dipinggirkan selama tiga tahun.

Bagaimanapun sudah tentu ramai ahli UMNO mengharapkan KJ akan diterima kembali, justeru dalam ucapannya hari ini, Akmal  menggesa pucuk pimpinan menerima kembali bekas pemimpinnya yang pernah digantung, dipecat dan sudah menyertai parti lawan untuk kembali ke pangkuan UMNO.

Kata beliau, pemimpin UMNO perlu meletakkan ego di tepi, menilai mereka yang masih mempunyai jiwa dan kesetiaan kepada UMNO untuk dibenarkan kembali.

“Dengan penuh hormat saya mewakili Pemuda UMNO mohon kepada Presiden dan pucuk pimpinan, sudah-sudahlah bertelagah, terlalu besar untuk parti dibebani luka lama. Sebab itu saya dengan penuh kerendahan mohon Presiden agar pintu UMNO dibuka kepada mereka yang sayang kepada perjuangan parti,’’ kata Akmal.

Penulis percaya Ahmad Zahid dan kepimpinan UMNO tahu kualiti yang ada kepada KJ. Mungkin beliau ada buat salah..terlanjur dalam berkata-kata tetapi itu bukan bermakna pintu UMNO untuk KJ sudah tutup selama-lamanya.

Kehadiran KJ hari ini atas kebenaran Presiden UMNO memberi harapan, KJ akan berpeluang kembali berjuang dalam parti itu. Lagipun KJ dianggap ‘mutiara’ UMNO dan pemimpin harapan parti tersebut.

Kajiselidik oleh Institut Masa depan (MASA) baru-baru ini menunjukkan bagi kategori bukan pemimpin parti, KJ menjadi calon paling popular untuk menjadi Perdana Menteri selepas PRU-16. Pemimpin-pemimpin UMNO perlu menerima hakikat bahawa zaman sudah berubah, sekarang adalah masa pemimpin muda seperti KJ meneruskan dan menyambung perjuangan parti.

Tanyalah sesiapapun, tanyalah bangsa apapun…mereka pasti mengenali KJ yang sekaligus memberi isyarat kepada UMNO jangan sia-sia orang-oang seperti KJ, percayalah kehadiran KJ biarpun tidak memegang apa-apa jawatan akan memberi impak kepada UMNO dalam PRU-16.

Apakah esok ketika menyampaikan ucapan dasar atau lusa ketika menggulung perbahasan Ahmad Zahid akan mengumumkan penerimaan kembali Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai ahli UMNO? Semoga ia menjadi kenyataan dan kalau itu benar-benar berlaku, Ahmad Zahid pasti akan dikenang pemimpin berjiwa besar yang sanggup lakukan apa sahaja demi kepentingan UMNO..Sama-samalah kita tunggu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img