“..HARI ini ialah hari yang sangat-sangat emosional bagi saya. Saya dapat pulang ke perhimpunan parti saya. Insya-Allah, (ada) benda-benda baiklah lepas ini,”
Itulah kata-kaya bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin kepada wartawan selepas menghadiri Persidangan Pemuda UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur hari ini.
Bagaimanapun bekas Menteri Kesihatan itu, tidak memaklumkan secara jelas berita baik berkenaan, namun dipercayai sebagai bayangan akan kembali menyertai UMNO selepas dipecat pada Jan 2023.
Ditanya apakah beliau akan kembali kepada UMNO, Khairy hanya memaklumkan dirinya akan melakukan apa yang perlu selepas ini.
“Selangkah ke hadapan, insya-Allah. Hari ini saya kembali sebagai pemerhati dan selepas ini kita akan buat apa yang perlulah,” katanya sambil memaklumkan beliau dijemput oleh Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr.Muhammad Akmal Saleh.
Bbeliau sendiri turut memaklumkan dan meminta izin kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi untuk datang ke perhimpunan Pemuda UMNO itu.
“Semalam saya jumpa dengan Datuk Seri Zahid di majlis tahlil, tahlil untuk Tun Razak. Saya tanya dia, bolehkah saya datang hari ini. Saya kata kalau Datuk Seri tak nak saya datang, saya tak datang. Saya hanya akan datang kalau Datuk Seri bagi izinlah untuk saya datang. Dia kata, silalah datang,” katanya.
Mengenai penyatuan Melayu yang dicadangkan oleh Akmal, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau berkata, ia satu usaha baik dan ia bukan bermaksud menjejaskan perpaduan kaum dalam negara.
“Usaha yang baik tetapi Akmal juga kata ini bukanlah perhimpunan kebencian, bukan usaha akan menjadikan kaum-kaum bukan Melayu rasa terancam.
“Jadi saya nampak usaha ini usaha yang murni dan saya harap bahawa usaha ini dapat menyatukan orang Melayu tetapi pada masa yang sama, macam Akmal kata tadi, janganlah menjadi satu agenda kebencian terhadap mana-mana kaum yang lain,” katanya.


