Pemuda minta buka kembali pintu UMNO untuk bekas pemimpin

PERGERAKAN Pemuda UMNO hari ini meminta kepimpinan parti itu membuka semula pintu seluas-luasnya kepada mereka yang masih lagi sayang kepada perjuangan UMNO walaupun mereka ini pernah dibuang, sedang digantung, atau meninggalkan parti akibat perbezaan masa lalu.

Ketuanya, Datuk Dr.Muhammad Akmal Saleh berkata, ada antara mereka yang masih tidak menyertai mana-mana parti sekaligus membuktikan betapa kasih dan setianya mereka pada wadah perjuangan UMNO.

‘’Perbezaan itu lumrah, perselisihan itu fitrah. Tetapi parti besar dinilai pada kebesaran jiwanya. UMNO hanya akan kembali kuat apabila kita berani memaafkan dan menyatu semula.

‘’Parti yang yakin dengan kekuatannya tidak takut kepada suara jujur, tidak gentar kepada kepulangan sesiapa, dan tidak goyah kerana perbezaan pandangan. Parti yang berpecah tidak punya kekuatan untuk menyatukan orang lain,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda di Perhimpunan Pemuda UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur hari ini.

Akmal menegaskan,  penyatuan Melayu mesti bermula dengan penyatuan UMNO.

‘’Letakkan ego di tepi, dan angkat parti ini dengan satu jiwa. Jangan biarkan sejarah mencatat UMNO rebah kerana kita gagal berdamai di dalam,’’ katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu turut menegaskan,  menyatukan bangsa tidak pernah mudah.

‘’Siapa yang menyangka bangsa boleh disatukan dengan singkat, sebenarnya tidak belajar daripada sejarah. Rasulullah mengambil 13 tahun di Makkah membina jiwa sebelum negara ditegakkan, dan selepas hijrah pun Baginda masih terpaksa mendamaikan Aus dan Khazraj yang hampir 120 tahun bermusuhan.

‘’Bangsa Melayu juga belajar dengan harga sejarah yang mahal. Melaka tidak rebah kerana meriam Portugis, tetapi kerana perpecahan dan khianat dari dalam. Penjajah tidak mencipta perpecahan; mereka hanya mengambil kesempatan,’’ katanya.

Sebab itu, kata beliau, UMNO tidak boleh memilih jalan paling popular sebaliknya  wajib memilih jalan paling bertanggungjawab.

‘’Jika perpecahan memberi untung kepada segelintir, penyatuanlah yang menyelamatkan bangsa untuk ratusan tahun akan datang,’’ katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img