SEMUA kelulusan perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkait isu rasuah dibekukan sementara sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan melalui kementerian terlibat akan meneliti dan menyusun semula semua perolehan bagi memastikan ketelusan sistem sedia ada.
Beliau turut berterima kasih kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, atas kenyataan yang sangat jelas berkenaan perkara ini.
“Kita akan ambil perhatian dan menunggu laporan untuk meneliti sebarang kelompongan atau kelemahan dalam sistem perolehan, supaya proses dipatuhi sepenuhnya
“Kadang-kadang perolehan setengah juta ke bawah ini menjadi ruang mudah untuk disalahgunakan di pelbagai jabatan, termasuk di Kementerian Pertahanan,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Usamah Bin Zaid di Wangsa Maju hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan mengambil pendirian tegas dalam usaha membanteras rasuah dengan memberi ruang sepenuhnya kepada agensi penguatkuasaan untuk bertindak tanpa campur tangan politik.
Menurut beliau, tindakan lebih keras itu melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) serta Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan gejala rasuah dapat dihapuskan secara menyeluruh.
“Kita beri ruang kepada SPRM, LHDN, AMLA dan Jabatan Siasatan Jenayah PDRM untuk bertindak. Ia memerlukan keberanian politik dan kerjasama rakyat. Dari segi dasar, kita tidak campur tangan dan tentunya kita tidak senang dengan perkembangan (rasuah) ini, namun jika tidak ada tindakan tegas dan menyeluruh, kita akan menanggung bala dan malapetaka terhadap ekonomi rakyat,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, rasuah memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat apabila dana yang sepatutnya digunakan untuk kepentingan awam disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Kalau RM10 hingga RM20 juta diambil secara tidak sah, wang itu sepatutnya kembali kepada pekerjaan, pasukan tentera di peringkat bawahan atau projek-projek kecil yang memberi manfaat kepada rakyat. Sebab itu kali ini kita ambil perhatian serius,” ujarnya.
Mengulas sikap segelintir pihak yang memandang ringan isu rasuah, Anwar menegaskan budaya mempertahankan perbuatan tersebut perlu dihentikan.
“Ada suara-suara yang mempertahankan rasuah, termasuk apabila tindakan diambil terhadap bekas menteri yang memiliki kekayaan berbilion ringgit. Ini budaya buruk dan budaya merosakkan yang mesti diperbaiki, insya-Allah,” katanya.


