JOHOR Darul Ta’zim menutup musim dengan penuh bergaya apabila berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia selepas menewaskan Kuching City FC 2-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di TM Stadium Nasional, malam ini.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Harimau Selatan terus mendominasi saingan domestik apabila berjaya membawa pulang empat trofi utama musim ini, sekali gus meneruskan rekod cemerlang mereka.

Aksi final berlangsung dalam tempo tinggi dengan Kuching City memberi tentangan sengit meskipun JDT lebih banyak menguasai permainan sejak awal babak pertama.
Pasukan dari selatan tanah air itu terlebih dahulu menguji kubu lawan menerusi beberapa gerakan berbahaya yang diketuai Bergson da Silva dan Oscar Arribas, namun kecemerlangan penjaga gol Haziq Nadzli berjaya menggagalkan usaha mereka.
Pada minit ke-12, penyokong JDT sempat meraikan jaringan Bergson, namun gol tersebut dibatalkan selepas pengadil mendapati berlaku kekasaran dalam situasi perebutan bola.
Kuching City pula hampir mengejutkan lawan menerusi tandukan Ramadhan Saifullah Usman hasil hantaran Joao Pedro, tetapi percubaan itu tidak menepati sasaran.
Selepas rehat, JDT menggandakan asakan dan beberapa peluang berjaya dihasilkan, namun Haziq terus menjadi watak penting buat Kuching City dengan aksi menyelamat yang konsisten.
Pasukan The Cats kemudian memiliki peluang terbaik untuk berada di depan apabila diberikan sepakan penalti pada minit ke-60 selepas Ramadhan dijatuhkan Corbin Ong di dalam kotak penalti.
Namun, sepakan yang diambil Ramadhan gagal menghasilkan gol apabila bola tersasar di sebelah kanan pintu gol JDT.
Kebuntuan akhirnya berjaya dipecahkan pada minit ke-80 menerusi rembatan lencong Marcos Guilherme yang menewaskan Haziq untuk menghadiahkan gol pendahuluan buat Harimau Selatan.
Arif Aiman Hanapi yang kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan melengkapkan kemenangan JDT dengan jaringan kedua pada masa kecederaan.
Keputusan kekal 2-0 sehingga tamat perlawanan sekali gus mengesahkan JDT terus unggul selaku juara Piala Malaysia musim ini.


