POLIS sedang memburu dua beradik yang melarikan peti wang dan telefon bimbit milik seorang peniaga wanita penjual ‘nasi bajet’ di gerainya di tepi Jalan Lebuh Meru Raya di Ipoh pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, individu pertama yang dikesan ialah Mohd Faiz Naharoddin, 36, atau dikenali sebagai ‘Paeh’.
“Lelaki berkenaan mempunyai ketinggian anggaran 180 sentimeter, berkulit sawo matang dan bertubuh kurus dengan alamat terakhir di Halaman Meru Damai, Ipoh.
“Seorang lagi individu yang dikesan ialah adiknya Mohamad Arif Naharoddin, 25, atau dikenali sebagai ‘Aboy’, yang turut mempunyai alamat terakhir sama,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, Mohamad Arif mempunyai ketinggian 175 sentimeter, berkulit sawo matang dan bertubuh kurus.
Sehubungan dengan itu, Muhammad Najib berkata, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat tentang kedua-dua lelaki berkenaan diminta menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Azrul melalui talian 017-58 23467 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Video kejadian itu yang kini tular memaparkan mangsa yang berusia 21 tahun sedang berniaga dan membungkus makanan sebelum didatangi dua lelaki menaiki motosikal jenis Yamaha Y15ZR berwarna perak yang dipercayai berpura-pura membeli makanan kira-kira jam 12 tengah hari.
Ketika mangsa sedang membungkus nasi, suspek disyaki melarikan sebuah peti wang mengandungi wang tunai serta sebuah telefon bimbit jenis iPhone 13 milik wanita itu sebelum melarikan diri menaiki motosikal dan menghala ke arah bulatan Meru Raya.


