SEORANG suri rumah di Sibu, Sarawak kerugian RM243,300 selepas diperdaya sindiket penipuan cabutan bertuah dalam talian sejak penghujung Disember lalu.
Mangsa yang berusia lingkungan 40-an sebelum itu menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali pada 24 Disember lalu memaklumkan bahawa dia kononnya telah memenangi hadiah wang tunai cabutan bertuah berjumlah RM237,000.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, suspek kemudiannya meminta mangsa membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM6,000, kononnya bagi tujuan mengeluarkan wang hadiah tersebut.
“Mangsa yang tidak mengesyaki sebarang perkara mencurigakan, telah membuat 15 transaksi pemindahan wang ke dalam 15 akaun bank tempatan, melibatkan jumlah keseluruhan RM243,300,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, selepas semua pembayaran dibuat, mangsa tidak menerima sebarang wang hadiah seperti dijanjikan sebelum menyedari bahawa beliau telah ditipu dan tampil membuat laporan polis semalam.
Zulkipli berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran hadiah wang tunai yang diterima melalui panggilan telefon, mesej atau media sosial, serta tidak membuat sebarang pemindahan wang ke akaun individu yang tidak dikenali.


