Tipu warga emas baucar RM100,000: Tukang paip dipenjara dua tahun, denda RM5,000

SEORANG tukang paip dihukum penjara dua tahun dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Putrajaya semalam selepas mengaku bersalah menipu seorang wanita warga emas baucar bantuan menyebabkan mangsa mengalami kerugian sebanyak  RM100,000 pada Julai tahun lalu.

Tan Wing Kit, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Ezrene Zakariah.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama lima bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, pemuda itu didakwa menipu seorang wanita berusia 72 tahun, dengan memperdayakannya berhubung wang bantuan kewangan kepada warga emas.

Tertuduh dengan curangnya mendorong wanita terbabit menyerahkan wang berjumlah RM100,000 di sebuah bank di Presint 15, Putrajaya pada 21 Julai 2025.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, ketika keluar dari sebuah pasar raya, mangsa didatangi dua individu, menyatakan dia layak menerima baucar warga emas bernilai RM500 dari sebuah bank.

Individu itu kemudian membawa mangsa ke sebuah bank di Kepong lalu mereka menyerahkan RM500 hasil penebusan baucar berkenaan.

Selepas itu, mereka mendesak mangsa mengeluarkan wang simpanan kononnya boleh mendapatkan baucar dengan nilai yang lebih tinggi.

Mangsa yang percaya dengan perkara tersebut, kemudian pulang ke rumah di Taman Kok Lian, Putrajaya untuk mengambil buku bank lalu bertolak ke sebuah bank di Putrajaya.

Mangsa mengeluarkan RM100,000 dan memberikannya kepada mereka, namun dua individu tersebut masih tidak berpuas hati lalu meminta mangsa membuat satu lagi pengeluaran tambahan sebanyak RM200,000 di bank lain.

Bagaimanapun taktik mereka berjaya dihidu pihak bank dan kedua-dua individu itu melarikan diri selepas pegawai meminta kad pengenalan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Faizah Khalilah Zaberi.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img