11 penumpang selamat,  pesawat Smart Air lakukan pendaratan cemas di Papua

SERAMAI 11 penumpang pesawat Smart Air jenis Cessna 208 Caravan (PK-SNS) disahkan selamat selepas pesawat berkenaan melakukan pendaratan cemas di Pantai Karadiri, Daerah Nabire Barat, Papua Tengah, hari ini.

Portal tribunnews.com melaporkan,  selain penumpang, dua kru pesawat turut dilaporkan berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami kecederaan serius.

Menurut pihak berkuasa, pesawat itu dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Douw Aturure Nabire ke Kaimana. Bagaimanapun, sejurus selepas berlepas, pesawat berkenaan dilaporkan mengalami gangguan pada enjin.

Ketua Pos Mencari dan Menyelamat Kaimana, Silas Wopari, berkata penurunan kuasa tujahan enjin memaksa juruterbang membuat keputusan untuk berpatah balik dan melakukan pendaratan cemas di pesisir pantai berhampiran lapangan terbang.

“Pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Nabire (NBX) menuju Kaimana (KNG). Tidak lama selepas berlepas, pesawat mengalami gangguan enjin dan kuasa tujahan semakin berkurangan,” katanya dalam kenyataan.

Susulan kejadian itu, pasukan gabungan Tentera Nasional Indonesia (TNI), Polis Republik Indonesia (Polri) dan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) segera dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pemindahan.

Kesemua penumpang dan kru kemudiannya dibawa ke Hospital Daerah Nabire untuk pemeriksaan kesihatan.

Walaupun mengalami kerosakan, badan pesawat dilaporkan masih terapung di perairan cetek di kawasan pantai berkenaan.

.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img