Kestabilan politik dorong keyakinan Google melabur RM61 bilion – PM

KESTABILAN politik dan kejelasan dasar ekonomi negara menjadi antara faktor yang mendorong keyakinan Google untuk melabur sebanyak RM61 bilion di Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkenaan, Ruth Porat selepas menilai beberapa destinasi pelaburan, termasuk negara lain di rantau ASEAN.

Beliau berkata, pelabur antarabangsa memerlukan persekitaran politik yang stabil, dasar ekonomi yang konsisten serta kecekapan pentadbiran sebelum membuat komitmen pelaburan berskala besar.

“Kekuatannya, kata dia pilih Malaysia kerana negara ini politiknya stabil. Tidak kucar-kacir, ada sikit-sikit rungutan biasa. Bila politik itu stabil, kemudian dasar, apa dia katakan, ‘clarity in policies, economic policies’ yang jelas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2026 di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Ayer Keroh, hari ini, lapor Buletin TV3.

Anwar berkata, pelaburan Google itu adalah perkembangan besar kepada ekonomi negara, namun manfaatnya perlu diterjemahkan kepada pewujudan peluang pekerjaan serta pembangunan tenaga kerja mahir tempatan.

Katanya, antara maklum balas diterima daripada syarikat berkenaan ialah keperluan meningkatkan kemahiran dan kepakaran pekerja Malaysia bagi memenuhi tuntutan teknologi baharu.

“Terima kasih kepada kementerian, ketua pengarah dan kerajaan negeri yang melaksanakan dasar kerajaan dengan baik serta memastikan setiap program dijalankan tanpa kelewatan.

“Kita memerlukan peningkatan kemahiran dan latihan lanjut bagi memastikan tahap pengkhususan serta kepakaran dapat dipertingkatkan lagi,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan menarik pelaburan perlu disusuli usaha berterusan meningkatkan kualiti tenaga kerja, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum dan teknologi digital.

Sehubungan itu, Anwar mahu institusi pengajian tinggi (IPT) menjalinkan kerjasama lebih erat dengan pemain industri bagi memastikan latihan yang ditawarkan memenuhi keperluan sebenar pasaran pekerjaan.

Terdahulu, dilaporkan Google merancang melabur sebanyak AS$15 bilion (RM61.1 bilion) di Malaysia dalam tempoh dua tahun bermula 2027, merangkumi pembangunan infrastruktur digital, peluasan kampus pusat data, pewujudan peluang pekerjaan tempatan serta inisiatif memperkukuh bekalan air dan tenaga bersih negara.

Pelaburan itu turut membabitkan pembangunan kampus pusat data cekap tenaga di zon perindustrian, kerjasama meningkatkan kemahiran kira-kira 800,000 rakyat Malaysia menjelang 2031, selain menambah kapasiti tenaga bersih melebihi satu gigawatt (GW) kepada Grid Nasional Malaysia.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here