Kerajaan sedia dedahkan kandungan perjanjian keyakinan – PM

KERAJAAN sedia mendedahkan kandungan perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) yang dimeterai dengan sekumpulan Ahli Parlimen pembangkang susulan desakan PAS supaya butiran perjanjian itu diumumkan kepada umum.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya tiada halangan untuk mendedahkan kandungan CSA berkenaan kerana prinsipnya sama seperti perjanjian yang pernah dimeterai antara kerajaan dan pembangkang sebelum ini.

DATUK Seri Anwar Ibrahim

Anwar berkata perkara itu akan dibangkitkan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, yang bertanggungjawab menguruskan perjanjian berkenaan, pada mesyuarat Jemaah Menteri esok.

“Saya tidak ada masalah, boleh dedahkan kerana prinsipnya sama seperti yang ditandatangani dulu.

“Esok dalam mesyuarat Jemaah Menteri, saya akan sampaikan perkara ini kepada Fadillah. Saya tidak ada keberatan untuk mendedahkannya,” katanya selepas menghadiri Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2026 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), lapor Buletin TV3.

Beliau mengulas desakan Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan supaya kerajaan mendedahkan kandungan CSA, termasuk jumlah peruntukan pembangunan kawasan yang diterima Ahli Parlimen terlibat, kaedah penyaluran serta pelaksanaannya.

Terdahulu, Takiyuddin membangkitkan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September 2021, yang menurutnya mengandungi prinsip tiada kerahsiaan dan didedahkan sepenuhnya kepada umum.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu turut mempersoalkan mengapa kandungan CSA terbaharu belum diumumkan, sedangkan perjanjian terdahulu boleh diakses orang ramai.

Kerajaan pada 29 Oktober lalu memeterai CSA dengan 13 Ahli Parlimen, terdiri daripada enam wakil Bersatu diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin, enam bekas wakil parti itu dan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Perjanjian itu merangkumi sokongan terhadap Belanjawan 2027 serta reformasi institusi, dengan wakil rakyat terbabit menerima peruntukan pembangunan kawasan setara Ahli Parlimen kerajaan.

Mengulas kecaman Presiden Pas Tan Sri  Hadi Awang yang menyifatkan CSA sebagai ‘pendekatan dajal’, Anwar berkata pemimpin itu sepatutnya lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan sebagai seorang agamawan.

“Sepatutnya kenyataan dia lebih terkawal. Itu tanggungjawab, bukan ditujukan kepada saya.

“Tetapi untuk menghukum orang atau kumpulan dengan pendirian dajal, itu tidak kena. Saya tidak fikir agama boleh dipermainkan seperti itu,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here