MCMC nilai kesiapsigaan telekomunikasi ECRL,usaha penambahbaikan liputan dipergiat

TIMBALAN Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, hari ini menyertai sesi pengujian liputan selular di jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Fasa 1 bagi menilai tahap kesiapsiagaan perkhidmatan telekomunikasi menjelang pengoperasian rasmi projek pengangkutan strategik yang bakal menghubungkan Pantai Timur dengan Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan berkata, lawatan kerja itu bertujuan meneliti status liputan rangkaian 4G dan 5G serta kemajuan usaha penambahbaikan liputan di sepanjang jajaran ECRL Fasa 1 yang menghubungkan Kota Bharu dengan Terminal Bersepadu Gombak bagi memastikan penumpang menikmati perkhidmatan telekomunikasi yang lebih baik dan konsisten sepanjang perjalanan.

Menurut MCMC, suruhanjaya itu menekankan kepentingan pengalaman ketersambungan yang konsisten di dalam tren ketika bergerak, termasuk semasa melalui terowong, serta di stesen.

‘’Keutamaan ini merangkumi kestabilan panggilan suara dan sambungan Internet untuk menyokong keperluan komunikasi penumpang sepanjang perjalanan.

‘’Berdasarkan penilaian yang dilaksanakan oleh MCMC bersama-sama penyedia perkhidmatan telekomunikasi, usaha penambahbaikan liputan rangkaian sedang dipergiat di beberapa seksyen jajaran ECRL sebagai persediaan menghadapi pengoperasian rasminya,’’ kata kenyataan itu.

MCMC berkata,  bagi menyokong keperluan telekomunikasi sepanjang laluan ECRL, Maxis Berhad telah dilantik oleh Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) sebagai Single Preferred Infrastructure Provider and Telecommunications Partner bagi projek tersebut.

‘’MCMC akan terus memantau pelaksanaan usaha penambahbaikan ini bagi memastikan kualiti perkhidmatan telekomunikasi memenuhi keperluan pengguna menjelang pengoperasian rasmi ECRL.

‘’Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk memastikan rakyat menikmati ketersambungan digital yang stabil dan berkualiti tinggi, termasuk di sepanjang laluan pengangkutan awam strategik yang bakal memudah cara pergerakan rakyat serta merangsang aktiviti ekonomi antara kedua-dua wilayah,’’ kata MCMC.

Orang ramai digalakkan memuat turun aplikasi MCMC NEXUS secara percuma melalui Google Play Store, Apple App Store dan Huawei AppGallery untuk menguji kelajuan Internet serta menyumbang data prestasi rangkaian sebenar dari lokasi masing-masing.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here