Yayasan Pahang buka tirai 2026 raih anugerah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu

YAYASAN Pahang (YP) melakar sejarah tersendiri apabila membuka tirai tahun 2026 dengan pengiktirafan bertaraf dunia selepas dinobatkan sebagai pemenang kategori Anti-Rasuah pada UNGC Forward Faster Sustainability Awards (FFSA) 2026.

Kejayaan meraih anugerah berprestij di bawah naungan United Nations Global Compact itu membuktikan komitmen utuh YP dalam membudayakan kecemerlangan serta integriti pada piawaian antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif YP, Datuk Indera Mahmud Mohd Nawawi berkata, kemenangan itu sebagai bukti kesungguhan yayasan berkenaan melaksanakan tadbir urus berintegriti secara menyeluruh.

“Anugerah ini bukan sekadar satu pencapaian, malah merupakan pengiktirafan di peringkat antarabangsa yang dianugerahkan oleh United Nations Global Compact.

“Ia membuktikan kesungguhan Yayasan Pahang dalam melaksanakan tadbir urus berintegriti secara menyeluruh, khususnya melalui pelaksanaan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah ISO 37001,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mahmud, pengiktirafan itu turut meletakkan YP sebagai model contoh kepada agensi lain.

“Integriti adalah tunjang kepada setiap usaha kelestarian. Justeru, kami amat berbesar hati dan bersyukur atas pengiktirafan ini, dan percaya kejayaan ini menjadi penanda aras baharu bagi institusi yayasan milik kerajaan negeri di Malaysia,” tambah beliau.

YP memenangi kategori Anti-Rasuah itu menerusi penyertaan kertas kerja bertajuk Building a Culture of Integrity: How Yayasan Pahang Strengthened Governance Through ISO 37001.

Yayasan itu berjaya mengungguli kategori berkenaan di peringkat akhir selepas disenarai pendek bersama syarikat Thumbprints United Sdn Bhd.

Kemenangan YP itu meletakkannya sebaris dengan organisasi korporat terkemuka negara seperti Malayan Banking Berhad (Maybank) dan Telekom Malaysia Berhad (TM) yang turut menerima pengiktirafan bagi kategori lain pada majlis sama.

Majlis anugerah anjuran UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) yang berlangsung di ibu negara itu dirasmikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg.

Anugerah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed bersama Pengarah Eksekutif UNGCMYB, Faroze Nadar.

Mahmud berharap kejayaan itu akan terus menjadi pemangkin untuk YP memperkukuh budaya kerja berintegriti dan memperkasa sistem tadbir urus yang amanah demi kesejahteraan rakyat serta kelestarian masa depan Negeri Pahang.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img