Tengku Hassanal mahu Pahang diberi layanan, pertimbangan saksama

TENGKU Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi menegaskan supaya Pahang perlu diberikan layanan dan pertimbangan yang saksama berhubung peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada negeri itu.

Tengku Hassanal dalam satu kenyataan malam tadi bertitah, baginda juga maklum dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai perkara itu.

“Saya mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri. Sehubungan dengan itu, saya ingin menegaskan pendirian agar Pahang diberikan layanan serta pertimbangan yang saksama,” titah baginda.

Dalam kenyataan itu baginda turut menyelitkan serangkap pantun berbunyi:

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

Anwar semalam berkata, beliau akan meminta Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyediakan penjelasan menyeluruh berhubung peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Pahang, untuk dikemukakan kepada Tengku Mahkota Pahang.

Tengku Hassanal juga akan diberikan penerangan berkaitan kedudukan makroekonomi negara, tekanan ekonomi semasa dan isu pembaziran yang masih berlaku dalam pelbagai sektor.

“Saya hormat Tengku Mahkota… peruntukan kepada Pahang itu besar, bukan kecil. Saya akan minta Menteri Kewangan II menulis dan memberikan penjelasan keseluruhannya mengenai peruntukan untuk Pahang serta keadaan ekonomi semasa.

“Sebagai rakyat, kita hormati dan kita teliti dengan baik,” katanya mengulas teguran Tengku Hassanal.

Tengku Mahkota Pahang ketika bertitah merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 menzahirkan kekecewaan terhadap beberapa keputusan Kerajaan Persekutuan yang didakwa tidak memihak kepada hak dan kepentingan negeri itu..

Baginda dilapor bertitah, kerajaan Pusat perlu lebih cakna terhadap hak negeri termasuk dalam soal hasil bumi, pelaksanaan projek serta bidang kuasa perundangan di negeri itu.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img