SEORANG pelajar tingkatan dua ditemukan lemas ketika mandi bersama dua lagi rakannya di Sungai Kampung Rabbana, Kuala Long di Jeli, Kelantan malam ini.
Mangsa, Putera Aniq Fitri Zulkarnain Mohd Nordin, 14, merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeli 1 di Jeli.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Hasmin Nasrun Abd Rahman berkata, jasad mangsa ditemukan pada jarak 10 meter dari lokasi dia dipercayai lemas kira-kira jam 7.30 malam.
“Pasukan bomba dan penyelamat mengambil masa selama setengah jam melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebelum menemukan mangsa.
“Sebelum itu, pasukan bomba dan penyelamat menerima panggilan kecemasan pada jam 7.04 malam dan seramai 10 pegawai termasuk anggota telah bergegas ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat,” katanya ketika dihubungi, lapor Sinar Harian.
Menurut Hasmin Nasrun, sebaik sahaja tiba di lokasi pihaknya mendapati seorang remaja lelaki lemas di dalam sungai.
Kata beliau, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Dalam perkembangan sama, Hasmin Nasrun menasihat orang ramai supaya memantau aktiviti anak-anak mereka.
“Ini kerana Sungai Kampung Rebana berisiko untuk mandi manda disebabkan arusnya deras ketika ini,” katanya.


