SEORANG kanak-kanak lelaki ditemukan maut manakala adik perempuannya cedera selepas terperangkap di dalam kereta yang dinaiki bersama-sama ibu dan bapa mereka, yang terjunam ke dalam sungai di jambatan Tanjung Agas, Port Dickson, di sini pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.44 pagi bahawa terdapat kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta jenis Nissan Teana yang terjatuh ke dalam sungai.
“Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) menemukan mangsa yang berusia sembilan tahun itu pada 1.47 tengah hari dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) manakala adiknya yang berusia lapan tahun berjaya dinaikkan daripada kereta dalam kedalaman tiga meter pada 1.28 tengah hari sebelum dibawa ke hospital.
“Ibu bapa mereka yang berusia dalam lingkungan 40-an berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum itu. Kereta dipandu oleh bapanya dan kemalangan tidak membabitkan kenderaan lain,” menurut kenyataan itu di sini hari ini, lapor Bernama.
Operasi menyelamat berkenaan melibatkan lebih 30 anggota bomba, KKM dan polis.


