SEORANG peniaga didenda RM5,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kajang, hari ini, atas kesalahan mencederakan dan mengugut bunuh seorang lelaki warga emas di Jalan Cheras-Hulu Langat, Ahad lalu.
Tertuduh, Saiful Adli Yusof, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, Fatin Dayana Jalil.
Mengikut pertuduhan pertama, Saiful Adli didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Liew Khoon Foo, 70, dengan menumbuk dan menendang bahagian muka serta badan.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan ugutan jenayah yang mahu menyebabkan kematian terhadap pengadu sama
Kesalahan itu dilakukan pada jam 4.05 petang di Jalan Cheras-Hulu Langat, di sini, pada 8 Februari lalu.
Bagi pertuduhan pertama, Saiful Adli didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 jika sabit kesalahan.
Bapa empat anak itu juga didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, semasa pengadu memandu kereta Proton Wira di lokasi kejadian jam 3.45 petang, dia terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna Toyota Vellfire.
Pengadu mengambil keputusan meneruskan perjalanan menghala ke Taman Suntex kerana takut.
Kenderaan pengadu diekori Toyota Vellfire berkenaan yang menahan Proton Wira itu di persimpangan lampu isyarat Taman Suntex.
Tertuduh kemudian terus menendang kereta pengadu menyebabkan dia keluar dari kenderaan kerana takut.
Tertuduh menumbuk serta menendang pengadu menyebabkannya cedera di muka, mata lebam, dagu bengkak dan lidah berdarah.
Timbalan Pendakwa Raya, Aida Afiqah Shaari memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh supaya menjadi pengajaran kepada masyarakat.
Peguam mewakili tertuduh, Muhammad Syakir Haznal memohon supaya hukuman berbentuk denda dengan jumlah minimum dikenakan terhadap anak guamnya.
“Anak guam adalah pencari nafkah tunggal dalam keluarga dan perlu menanggung isteri bersama empat anak berusia antara 16 tahun hingga enam hari serta ibu mentua yang menghidap penyakit kronik.
“Ketika kejadian, anak guam bersama isteri dan anaknya yang baru berusia tiga hari. Anak guam serta isterinya rasa terkejut dan terkilan apabila kejadian itu berlaku.
“Anak guam sudah insaf atas perbuatan itu dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan hukuman denda RM5,500 bagi kedua-dua pertuduhan dan jika gagal bayar, hukuman penjara selama lapan bulan dikenakan.
Semalam, media melaporkan polis menahan seorang lelaki yang terbabit memukul dan menendang warga emas selepas mereka terbabit dalam kemalangan kecil berhampiran lampu isyarat di Batu 9 Cheras, di sini, kelmarin.


