SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor telah menahan reman enam pegawai dan seorang bekas pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM15,000 sebagai balasan mempercepat urusan permohonan dan memperbaharui lesen perniagaan.
Perintah reman selama empat hari sehingga 4 Februari depan terhadap kesemua suspek telah dikeluarkan Majistret Ameera Mastura Khamis selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi tadi.
Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 50-an telah ditahan antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari semalam sekitar Lembah Klang.
Siasatan awal mendapati kesemua individu berkenaan disyaki menerima wang rasuah berjumlah antara RM500 hingga RM15,000 daripada pemilik syarikat perniagaan sebagai balasan mempercepatkan urusan permohonan dan pembaharuan lesen perniagaan, selain melindungi syarikat-syarikat tertentu daripada dikenakan tindakan undang-undang.
“Siasatan awal mendapati ketujuh-tujuh suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2019 hingga 2023.
“Kesemua suspek dipercayai telah menerima wang rasuah antara RM500 hingga RM15,000 setiap bulan melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi masing-masing daripada dua pemilik syarikat bagi mempercepatkan urusan permohonan dan memperbaharui lesen perniagaan serta melindungi syarikat tersebut daripada dikenakan apa-apa tindakan undang-undang,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.


