MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming meluluskan peruntukan RM1 juta bagi membina baharu Medan Selera MADANI di Taman Cenderawasih, Indera Mahkota, Pahang.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata,Kor Ming meluluskan peruntukan itu ketika melawat Anjung Selera Taman Cenderawasih hari ini.
‘’Dalam rangka lawatan beliau itu, saya telah meminta beliau mempertimbangkan permohonan penjaja dan pengunjung yang menginginkan anjung selera yang berwajah baharu. Alhamdulillah, beliau bersetuju untuk meluluskan peruntukan RM1 juta dan ia merangkumi pembinaa baharu surau, anjung selera dan tandas berkonsepkan BMW (Bersih, Menawan, Wangi),’’ katanya dalam kenyataan.
Farhan berkata, Kor Ming berkunjung ke kawasan itu dalam rangka lawatan beliau ke Pahang sempena program Sentuhan Kasih KPKT 4.0.
‘’Saya ucapkan terima kasih kepada YB Menteri serta pihak KPKT atas kelulusan ini. Semoga medan selera baharu ini dapat memberi sinar baharu buat para peniaga dan komuniti setempat,’’ katanya.


