ISU pelarian Rohingya di Malaysia tidak boleh diselesaikan menerusi tindakan polis semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan menyeluruh membabitkan pelbagai agensi, negara sumber dan komuniti antarabangsa.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, berdasarkan statistik Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sehingga April lalu, terdapat 219,472 pemegang kad UNHCR di negara ini dengan 197,591 daripadanya warga Myanmar.
Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 128,200 adalah daripada komuniti Rohingya.
“Daripada statistik ini, kita dapat lihat majoriti pemegang kad UNHCR di Malaysia adalah dari Myanmar dan sebahagian besarnya Rohingya.
“Kalau hendak menangani isu ini, ia mesti membabitkan semua pihak. Dalam polis, kita adalah penerima terakhir dalam rantaian ini. Isu ini mempunyai banyak lapisan penguatkuasaan bermula di perairan sehingga mereka mendarat di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Program Lawatan Hospital sempena Peringatan Hari Polis Ke-219 di Hospital Tuanku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini.
Ayob Khan berkata, cabaran utama timbul apabila pendatang tanpa izin yang ditahan sudah menjalani hukuman kerana timbul persoalan mengenai destinasi penghantaran pulang mereka.
“Apabila mereka ditangkap dan dihukum, timbul persoalan ke mana mereka hendak dihantar semula. Sebab itu isu ini memerlukan kerjasama semua pihak termasuk negara sumber dan negara lain yang berkaitan,” katanya.
Mengulas dakwaan mengenai kewujudan penempatan komuniti Rohingya di beberapa lokasi yang tular di media sosial, beliau berkata operasi terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penempatan haram sentiasa dijalankan secara berterusan.
Katanya, tindakan penguatkuasaan bukan hanya dilakukan apabila sesuatu isu mendapat perhatian media atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Operasi di kawasan penempatan PATI memang berjalan secara berterusan. Mungkin apabila sesuatu isu tular, masyarakat lebih sedar mengenai kewujudan penempatan terbabit.
“Sebagai contoh, operasi di kawasan Flat Rancangan Sungai Tekali, Hulu Langat sudah dilaksanakan dan seramai 42 individu ditahan. Ketua Polis Daerah Kajang juga sudah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu pada 9 Jun lalu,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ayob Khan berkata cadangan mewujudkan pusat penempatan atau transit Rohingya di sebuah pulau berhampiran Laut Andaman memerlukan penelitian mendalam sebelum sebarang keputusan dibuat.
Beliau berkata, pelbagai aspek perlu dipertimbangkan termasuk soal pemilikan pulau, bidang kuasa pentadbiran, sumber pembiayaan dan destinasi akhir pelarian selepas proses saringan dijalankan.
“Kalau hendak diwujudkan pusat transit, siapa yang akan menguruskan? Siapa yang akan membiayainya? Selepas disaring, mereka hendak dihantar ke mana?
“Persoalan lain ialah sama ada negara ketiga benar-benar bersedia menerima mereka. Ini bukan isu yang mudah diselesaikan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kewujudan pusat transit sedemikian berpotensi menjadi faktor penarik kepada lebih ramai migran untuk memasuki negara ini melalui sindiket penyeludupan manusia.
“Sindiket akan mengeksploitasi keadaan itu dengan mengatakan sudah ada tempat transit sebelum dihantar ke negara ketiga. Ini boleh menyebabkan lebih ramai migran cuba masuk ke rantau ini,” katanya.






