SEORANG penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan membunuh rakannya yang mayatnya ditemukan dalam keadaan bergulung di dalam tilam selepas dipercayai dibiarkan hampir dua bulan.
Tertuduh, Kamil Harris Mohd Abd Nasir, 40, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menyebabkan kematian seorang lelaki berusia 40 tahun antara jam 10 malam pada 30 Mac dan jam 3 pagi keesokan harinya di sebuah rumah di Taman Seri Pandan 1, Jalan Pokok Mangga, dalam daerah Melaka Tengah.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta minimum 12 sebatan, jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 29 Julai depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.
Terdahulu, penemuan mayat seorang lelaki dipercayai mangsa bunuh dalam keadaan bergulung di dalam tilam dengan kedua-dua tangan terikat di sebuah rumah kedai di kawasan Pokok Mangga kira-kira jam 7 malam pada 28 Mei lalu.
Susulan penemuan itu, polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham dan tuduh-menuduh antara mangsa dan tertuduh sebelum berlaku pergaduhan ketika mereka sedang menghisap dadah.






