Terperdaya tawaran untung lumayan, pesara wanita rugi RM1.69 juta di George Town

TERTARIK dengan tawaran pulangan keuntungan sebanyak 10 peratus dalam tempoh satu hari daripada jumlah modal yang dilaburkan seorang pesara wanita rugi RM1.69 juta.

Ketua Polis Pulau Pinang Datu Azizee Ismail berkata, wanita berusia itu 66 tahun itu dipercayai  menjadi mangsa penipuan pelaburan saham dalam talian yang menjanjikan pulangan keuntungan tinggi.

‘’ Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut menerima laporan berhubung kes tersebut pada 11 Februari lalu daripada wanita berkenaan,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bekas kakitangan sebuah institusi perbankan itu memberitahu, dia mula terlibat dalam skim berkenaan selepas melihat iklan pelaburan saham luar negara di aplikasi Facebook pada pertengahan November 2025.

“Mangsa kemudiannya berhubung dengan seorang lelaki melalui aplikasi WhatsApp sebelum dijemput menyertai satu kumpulan WhatsApp pelaburan.

“Dalam kumpulan tersebut, mangsa diberikan penerangan mengenai pelaburan yang menjanjikan pulangan keuntungan sebanyak 10 peratus dalam tempoh satu hari daripada jumlah modal yang dilaburkan,” katanya.

Katanya, akibat tertarik dengan tawaran berkenaan, mangsa mendaftar akaun keahlian dan seterusnya melakukan pelaburan sepertimana diarahkan.

‘’Antara 17 November hingga 6 Disember 2025, mangsa telah melakukan 23 transaksi pemindahan wang ke dalam empat akaun bank milik syarikat berbeza.

“Mangsa hanya menyedari dirinya diperdaya apabila tidak menerima sebarang keuntungan seperti dijanjikan, malah diminta membuat bayaran tambahan kononnya bagi tujuan pengeluaran keuntungan. Berasa curiga dengan keadaan itu, mangsa tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Azizee menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan skim pelaburan dalam talian yang menawarkan pulangan luar biasa tinggi.

“Penyertaan dalam mana-mana skim pelaburan khususnya yang ditawarkan secara dalam talian adalah sangat berisiko.

“Orang ramai disaran membuat semakan terlebih dahulu dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi memastikan entiti atau individu terbabit mempunyai kebenaran untuk menawarkan, mempromosikan atau menjual produk serta perkhidmatan pasaran modal,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img