SEORANG penuntut universiti maut manakala rakannya cedera selepas kereta Perodua Myvi dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di persimpangan lampu isyarat Taman Sari di Rawang menghala ke Bandar Country Homes petang tadi.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, nahas kira-kira jam 2.25 petang itu mengakibatkan mangsa yang memandu kenderaan itu meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, siasatan awal mendapati kereta Perodua Myvi dipandu penuntut berusia 18 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.
“Kereta itu kemudian dilanggar sebuah lori jenis Volvo yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Menurut Ibrahim, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.
Katanya, penumpang kereta, seorang lelaki berusia 18 tahun yang mengalami kecederaan dibawa ke klinik berhampiran untuk rawatan, manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan.
“Kedua-dua mangsa yang berada dalam Perodua Myvi adalah penuntut sebuah universiti swasta. Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Ibrahim meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Rathana Kumar Vardaraju di talian 017-774 5565 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-6126 2222 bagi membantu siasatan.
Rakaman video yang tular dalam media sosial berdurasi 23 saat turut memaparkan kenderaan dinaiki dua penuntut terbabit tiba-tiba terbabas dari laluan bertentangan sebelum dilanggar lori berkenaan.






