Isu pemilikan saham: LPPR ambil maklum penjelasan Azam Baki

LEMBAGA Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) mengambil maklum penjelasan yang dikemukakan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung isu pengisytiharan pemilikan saham.

Pengerusinya, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berkata, keperluan pengisytiharan harta telah dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) mengikut Pekeliling Perkhidmatan Awam, sekali gus memenuhi kehendak tata kelola rasmi perkhidmatan awam.

“Ia selaras dengan kerangka tadbir urus perkhidmatan awam yang sedang berkuat kuasa dan melalui saluran rasmi yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Salim turut menegaskan bahawa integriti SPRM sebagai institusi penguatkuasaan tidak boleh dihakimi melalui tohmahan atau naratif mengelirukan yang tidak berasaskan fakta.

“Apatah lagi apabila ia mengabaikan mekanisme semak dan imbang serta peranan badan pemantau bebas yang diwujudkan oleh undang-undang,” katanya.

Beliau menambah bahawa LPPR adalah salah satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM yang ditubuhkan di bawah Seksyen 13 Akta SPRM 2009 (Akta 694), dan memainkan peranan menasihati, meneliti serta menilai perjalanan SPRM dari sudut dasar, strategi, tadbir urus dan keberkesanan pelaksanaannya.

Dalam perkembangan berkaitan, Azam sebelum ini menjelaskan bahawa beliau telah melepaskan semua pegangan saham sejak Julai tahun lalu dan telah mengisytiharkannya melalui Sistem HRMIS kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Sebelum itu, laporan Bloomberg mendakwa Azam memiliki 17.7 juta unit saham Velocity, syarikat perkhidmatan kewangan yang tersenarai di Bursa Malaysia, berdasarkan pemfailan tahunan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu.

Nilai saham itu dianggarkan hampir RM800,000 berdasarkan penutupan dagangan Isnin lalu.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img