LAPORAN Jawatankuasa Khas Siasatan berkaitan isu pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki akan siap minggu ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, beliau akan meneliti terlebih dahulu laporan berkenaan sebelum membuat keputusan sama ada siasatan mengenainya perlu dilanjutkan.
Untuk itu beliau berkata, terlalu awal untuk memutuskan cadangan mengenai penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pemilikan saham berkenaan.
“Siasatan yang diketuai Peguam Negara (Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar) akan siap minggu ini, dalam beberapa hari. Jadi, kita tengok dulu apakah kemunasabahan rasional untuk melanjutkan dan dalam bidang apa yang diperlu diteliti.
“Jadi, saya tidak menerima atau menolak (penubuhan RCI). Biarlah kita ikut prosesnya, pertama mendapat dulu laporan daripada Peguam Negara yang tidak akan tertangguh kerana Peguam Negara memaklumkan kepada saya, laporan akan disediakan dalam tempoh satu dua hari ini.
“Kemudian, kalau ada rasional untuk melanjutkan (siasatan) itu, kita akan lanjutkan,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan V Ganabatirau (PH-Klang) mengenai tindakan khusus dan terperinci yang boleh dijangka daripada RCI berhubung isu mafia korporat yang didakwa membabitkan Azam, termasuk skop siasatan, kuasa perundangan dan kaedah siasatan, selain bila RCI itu akan memulakan siasatan.


